KUALA LUMPUR: Bekas Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Al-Habshee mempersoalkan mengapa hanya penerima rasuah yang didedahkan secara umum, sedangkan pemberi rasuah jarang diberikan tumpuan.

Menurut Syed Ali, perbuatan memberi dan menerima rasuah adalah dianggap bersalah mengikut peruntukan undang-undang sedia ada termaksud akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau juga menimbulkan persoalan kenapa identiti pemberi rasuah seperti sengaja disenyapkan daripada diketahui orang ramai.

"Persepsi semakin buruk apabila pihak akhbar dan media akan membesar-besarkan laporan berita penerima rasuah, sedangkan pemberi rasuah jarang sekali diberikan tumpuan.

"Mengapa kita jarang sekali mendengar dan melihat berita pemberi rasuah yang diheret ke mahkamah? Kenapa identiti pemberi rasuah seperti sengaja disenyapkan dari diketahui orang ramai?

"Mengapa pemberi rasuah tidak didedahkan kepada umum sedangkan pelaku rasuah dalam apa juga kategorinya, tetap menyalahi undang-undang dan menerima hukuman yang setimpal," katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook pada Selasa.

 

Aktiviti rasuah tidak akan berlaku jika tiada yang sanggup memberikan sogokan sama ada secara terus atau melalui orang tengah, tambahnya. 

Beliau mendakwa. penjawat awam turut dikatakan antara kumpulan tertinggi yang ditahan oleh SPRM bagi siasatan berkaitan kesalahan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

"Apabila didedahkan bahawa penjawat awam terlibat menerima rasuah, ianya akan menimbulkan tanggapan umum bahawa majoriti yang terbabit itu adalah orang Melayu," ujarnya.

Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan tindakan pihak berkuasa di negara ini yang berusaha membanteras kegiatan tersebut.