Dua maut manakala dua parah apabila sebuah kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki terbabas lalu terhumban ke dalam sungai di KM117.1 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berhampiran Jambatan Mak Ikar, Kerteh, di sini, hari ini.

Mangsa Mohd Zul Hafiz Mohd, 27, dan Mohd Amirul Nazri Alias, 23, meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala dua penumpang di bahagian belakang, Muhammad Nazirul Iqram Maliki, 20,yang berasal dari Manir, Hulu Terengganu cedera di kaki dan tangan dan Abdul Halim Che Adri, 22, dari Kampung Mengabang Telipot, Kuala Nerus cedera di kepala.

Kenderaan jenis Mitsubishi Triton yang dinaiki keempat-empat mangsa dikatakan dalam perjalanan dari Kuala Terengganu menghala ke Kuantan, Pahang.

Kenderaan tersebut kemudian dipercayai terbabas lalu merempuh pembahagi jalan sebelum terjunam ke dalam sungai Mak Ikar.

Pegawai zon dua Bomba dan Penyelamat Terengganu, Mohd Hamdan Sudin berkata pihaknya bergegas ke tempat kejadian sejurus menerima maklumat mengenainya.

"Kami menerima panggilan kemalangan jalan raya di Jambatan Mak Ikar pada jam 9.29 pagi. Apabila sampai di lokasi, dimaklumkan terdapat empat orang mangsa, yang mana dua cedera telah dikeluarkan oleh orang awam," jelas Mohd Hamdan Sudin.

Selain itu, menurut saksi kejadian bernama Mat Zaki, beliau mendengar suara orang meminta tolong ketika menghampiri kenderaan tersebut.

“Semasa saya sampai di situ, saya mendengar orang meminta tolong, saya bawa keluar yang masih selamat dahulu. Masa tengok tu, berani ada, takut pun ada. Saya selamatkan dua orang je sebab saya tengok yang lain dah meninggal dunia, saya terpaksa tinggalkan kerana kereta dalam keadaan terbalik,” jelasnya lagi.

Seorang lagi mangsa yang maut, Mohd Amirul pula ditemukan pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat kira-kira 11.06 pagi tadi di bawah kenderaan yang terbalik itu.

Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Kemaman untuk dibedah siasat.

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.