SEREMBAN: Menteri Besar dan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan akan memulangkan kenderaan rasmi kepada kerajaan negeri selepas penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata mereka juga tidak akan menggunakannya sepanjang tempoh berkempen namun kenderaan itu masih boleh digunakan untuk tujuan rasmi.

"Kami masih lagi kerajaan sementara yang menjalankan tugas rasmi, Exco pun ada tugas rasminya... kalau ikutkan, boleh guna lagi kenderaan termasuk pemandu hingga hari terakhir... itu antara yang kita bincang tadi... pada dasarnya, kita tidak mahu menimbulkan prasangka buruk.

"Untuk tujuan rasmi, tiada masalah cuma dalam kita berkempen, kita tidak akan menggunakan kenderaan rasmi, itu sahaja... kalau boleh, elakkan walaupun tidak menjadi kesalahan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini hari ini.

Semalam, Aminuddin dilaporkan berkata beliau akan menghadap Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir pada 28 Jun bagi mendapat perkenan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk memberi laluan kepada PRN.

Sebelum ini, Ahli Dewan Undangan Negeri Sikamat itu memaklumkan DUN akan dibubar pada 30 Jun.

Turut mengadakan PRN tidak lama lagi ialah Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

Dalam pada itu, Aminuddin berkata kesemua ADUN daripada Pakatan Harapan masih berminat untuk bertanding dalam PRN namun ia bergantung kepada keputusan pucuk pimpinan parti masing-masing.

Beliau juga berkata kerajaan negeri menyasarkan seramai 500,000 pengunjung menghadiri NS Fest yang akan berlangsung selama empat hari bermula esok di Dataran Nilai.

-- BERNAMA