KUALA LUMPUR: Kerajaan Sabah menghormati keputusan Mahkamah Rayuan Putrajaya yang membenarkan permohonan Kerajaan Persekutuan bagi penangguhan pelaksanaan Perintah Mahkamah Tinggi untuk menyemak geran khas bagi Tempoh Terlepas serta mencapai persetujuan dalam tempoh 180 hari bagi pembayaran hak Sabah sebanyak 40 peratus, sementara menunggu rayuan Kerajaan Persekutuan.
Ketua Menterinya, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, perintah penangguhan yang diberikan adalah bersifat prosedural dan mengekalkan status quo sehingga rayuan Kerajaan Persekutuan didengar.
Advertisement
Bagaimanapun, beliau berharap rundingan mengenai perkara itu akan diteruskan dengan niat baik ke arah mencapai persetujuan dengan Kerajaan Persekutuan.
"Ia tidak mengetepikan Perintah Mahkamah Tinggi sedia ada. Walaupun perintah Mahkamah Tinggi untuk mengadakan semakan adalah bagi Tempoh Terlepas [1974– 2021], ia tidak seharusnya menghalang semakan bagi tahun-tahun semasa memandangkan Kerajaan Persekutuan tidak mempertikaikan formula 40 peratus serta keperluan untuk mengadakan semakan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Dalam masa sama, Hajiji mengulangi pendirian Kerajaan Negeri yang membantah penangguhan Perintah Mahkamah Tinggi tersebut, namun menegaskan bahawa kerajaan tetap menghormati keputusan terbaharu mahkamah.
Tegas beliau, ia adalah satu proses yang sedang berjalan dan Kerajaan Negeri akan terus berbincang serta mencari penyelesaian.
Selain itu, Hajiji berkata Kerajaan Persekutuan tidak memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada Oktober 2025 berhubung hak perlembagaan Sabah ke atas 40 peratus hasil bersih Persekutuan yang dikutip.
Beliau menambah, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga telah berjanji untuk menghormatinya.
Tarikh tentafif bagi pendengaran rayuan Kerajaan Persekutuan adalah antara 27 hingga 30 Oktober 2026 dan satu e-Review ditetapkan pada 13 April 2026 bagi mengesahkan tarikh sebenar pendengaran.