Kenderaan terjunam: KKR tidak terlibat alih papan tanda lokasi tanah runtuh - Alexander Nanta

Alexander menegaskan KKR tidak terlibat dalam tindakan mengalihkan papan tanda amaran dan penghadang jalan yang dipasang di lokasi tanah runtuh dalam kejadian kenderaan terjunam. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menegaskan bahawa Kementerian Kerja Raya (KKR) tidak terlibat dalam tindakan mengalihkan papan tanda amaran dan penghadang jalan di lokasi tanah runtuh di Kilometer 52, Jalan Kuala Jeneris–Sungai Gawi–Aring (Bukit Kawah), Hulu Terengganu, yang menjadi lokasi tragedi kenderaan utiliti sukan (SUV) terjunam ke dalam gaung baru-baru ini.
Ringkasan AI
- Menteri Kerja Raya menegaskan Jabatan Kerja Raya tidak terlibat dalam mengalihkan papan tanda amaran di lokasi tanah runtuh di Hulu Terengganu yang menyebabkan tragedi kenderaan terjunam ke dalam gaung baru-baru ini.
- Siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab mengalihkan papan tanda dan penghadang tersebut, dan orang ramai dipanggil untuk membantu siasatan.
- Dalam kejadian itu, dua individu terbunuh di tempat kejadian akibat terjunam ke dalam gaung, yang turut melibatkan perancangan perkahwinan antara mereka.
Alexander turut memaklumkan bahawa siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab mengalihkan papan tanda dan penghadang tersebut.
“Kalau benar ia dialihkan, kita perlu tahu siapa yang melakukannya. KKR tidak terlibat. Siasatan sedang berjalan seperti biasa. Bila berlaku kejadian, kita turun ke lokasi dan ambil tindakan mengikut SOP,” jelasnya.
Beliau turut menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat agar tampil membantu siasatan.
“Kita belum tahu siapa yang alihkan. Kalau ada yang tahu, tolong maklumkan kepada pihak kami,” katanya.
Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintendan Sharudin Abdul Wahab, memaklumkan bahawa tiada kesan brek ditemui di lokasi kejadian, dan kenderaan dipercayai dipandu terus ke laluan yang telah terputus sebelum terhumban ke dalam gaung sedalam 61 meter.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang Jumaat lalu, sebuah Toyota Fortuner yang dipandu guru, Hassan Shazali, 52, bersama penumpang Suzaimah Che Azis, 34, seorang pekerja kantin, terjunam ke dalam gaung ketika dalam perjalanan ke Gua Musang, Kelantan.
Kedua-dua mangsa maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
Difahamkan, Hassan yang mempunyai lima anak berusia antara 8 hingga 24 tahun, telah bercerai dan merancang untuk berkahwin dengan Suzaimah, ibu tunggal kepada tiga anak berusia 7, 12 dan 15 tahun, pada 25 Disember ini.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


