Skip to main content

Malaysia

Raja Muda Perlis ajak orang ramai meriahkan program mega negeri

Raja Muda Perlis.. kredit MAIPs
Tuanku Syed Faizuddin dan Tuanku Lailatul Shahreen berkenan menyempurnakan agihan zakat MAIPs kepada 30 orang asnaf terpilih dalam kalangan anak kariah Kangar di Masjid Alwi, pada Jumaat. - Gambar ihsan MAIPs

KANGAR: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menzahirkan alu-aluan kepada orang ramai untuk berkunjung ke negeri itu bagi memeriahkan pelbagai program berskala besar yang berlangsung hujung minggu ini.

Baginda bertitah, penganjuran acara-acara berkenaan merupakan pembuka tirai kepada Sambutan Hari Ulang Tahun Keputeraan Tuanku Raja Perlis Ke-84 yang bakal diraikan pada 17 Mei ini.

Advertisement

Antara program utama yang menjadi tumpuan ialah Perkampungan Sunnah Siri ke-11 Tahun 2026 bertemakan “Zikrullah: Menghidupkan Sunnah, Mendapatkan Fadhilah” yang berlangsung dari 24 hingga 26 April di Masjid Alwi, di sini.

Selain itu, Perlis International Marathon 2026 (PLIM26) turut kembali dianjurkan pada Sabtu, 25 April bermula di Stadium Tuanku Syed Putra, selepas program berkenaan tidak diadakan sejak penularan pandemik COVID-19 sebelum ini.

Dalam pada itu, Perlis Agrofest 2026 berlangsung dari 24 hingga 26 April di Sungai Batu Pahat, yang menghimpunkan beberapa acara utama termasuk Hari Peladang, Penternak dan Nelayan serta Festival Mangga Harumanis menerusi penganjuran secara bersepadu.

Turut diadakan ialah Promosi Kraf Malaysia 2026 @ Perlis dari 24 April hingga 3 Mei di Kangar Jaya Mall, bermula jam 10 pagi hingga 10 malam, bagi memberi peluang kepada pengunjung menyokong serta mengangkat martabat produk kraf tempatan.

Pada masa sama, Persembahan Pentas Menempa Tari Tradisi 2026: Di Kota Kayangan dijadualkan berlangsung di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Negeri Perlis pada 24 dan 25 April bermula jam 8.30 malam.

Tidak ketinggalan, Majlis Amal Gemilang PISKANITA 2026 bertemakan “Majestic Red Carpet Gala” akan dianjurkan pada 25 April di Dewan Ilmu, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Kampus Alam Pauh Putra.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah demikian selepas berkenan berangkat menyempurnakan Program Hijrah Minda anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di Masjid Alwi, pada Jumaat.

Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Sempena program berkenaan, Baginda berdua turut berkenan menyempurnakan agihan zakat MAIPs kepada 30 orang asnaf terpilih dalam kalangan anak kariah Kangar, melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM21,000.

Must Watch Video