Skip to main content

Dunia

Kremlin tidak tolak kemungkinan Putin hadir G20 di AS

71767259127_VladimirPutin.jpg
Presiden Putin belum membuat keputusan sama ada akan menghadiri Sidang Kemuncak G20 di Amerika Syarikat pada Disember ini. - Gambar fail

ISTANBUL: Kremlin pada Jumaat memaklumkan bahawa Presiden Rusia, Vladimir Putin belum membuat keputusan sama ada akan menghadiri Sidang Kemuncak G20 di Amerika Syarikat (AS) pada Disember ini, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov berkata, Putin mungkin hadir sendiri ke Miami sebagai wakil Rusia, namun tidak menolak kemungkinan Moscow menghantar wakil lain ke sidang kemuncak itu.

Advertisement

“Presiden Putin mungkin pergi ke Miami sebagai wakil G20, atau beliau mungkin tidak pergi, atau wakil Rusia yang lain mungkin hadir,” katanya kepada saluran kerajaan Vesti.

Bagaimanapun, Peskov menegaskan, Rusia tetap akan diwakili pada sidang kemuncak itu “dengan penuh bermaruah dan pada tahap sewajarnya.”

Beliau berkata, Moscow terus memberi keutamaan kepada peranan dan kerja-kerja dalam G20, khususnya ketika dunia berdepan pelbagai krisis yang semakin berkembang.

“Terutamanya kerana, mengambil kira krisis yang kini semakin berkembang dan muncul, menjelang sidang kemuncak itu diadakan, banyak perkara akan dibincangkan,” kata beliau.

Menurut laporan The Washington Post pada Khamis, yang memetik seorang pegawai kanan pentadbiran Trump yang enggan dikenali, Washington berhasrat menjemput Putin ke sidang kemuncak berkenaan.

Pada hari yang sama, Timbalan Menteri Luar Rusia, Aleksandr Pankin dilaporkan berkata bahawa Moscow telah menerima jemputan untuk menyertai sidang kemuncak itu “pada peringkat tertinggi,” menurut agensi berita Tass.

Sidang Kemuncak G20 di Miami, Florida, dijadual berlangsung pada 14 hingga 15 Disember.

G20 ialah forum tahunan yang menghimpunkan pemimpin ekonomi maju dan membangun bagi membincangkan cabaran utama dunia.

Putin kali terakhir menghadiri Sidang Kemuncak G20 secara fizikal pada 2019.

Bagaimanapun, beliau menyertai sidang kemuncak pada 2020 dan 2021 menerusi sidang video.

-- BERNAMA-ANADOLU

Must Watch Video