Skip to main content

Malaysia

Kenyataan ILO tidak jejas pengiktirafan global sistem pekerja migran – Bestinet

 BestiNet
Bestinet mengiktiraf sepenuhnya bahawa sebarang pemerhatian teknikal atau komen awal yang dibuat oleh ILO pada tahun 2013 diberikan dalam konteks tertentu yang kemudiannya dilaksanakan dalam FWCMS dan ia tidak merupakan pengendorsan institusi. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Penjelasan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) mengenai Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS) tidak menjejaskan kepentingan pengiktirafan antarabangsa terhadap sistem tersebut, jelas firma guaman yang mewakili syarikat Bestinet Sdn. Bhd., Lui & Bhullar.

Ia susulan kenyataan ILO semalam yang menafikan bahawa pihaknya pernah mengesahkan sistem FWCMS, sebaliknya menjelaskan hanya memberikan komen awal terhadap sistem itu kepada Bestinet pada tahun 2013 ketika taklimat oleh pengarah eksekutif syarikat berkenaan di Bangkok.

Menurut kenyataan firma guaman itu, Bestinet mengiktiraf sepenuhnya bahawa sebarang pemerhatian teknikal atau komen awal yang dibuat oleh ILO pada tahun 2013 diberikan dalam konteks tertentu yang kemudiannya dilaksanakan dalam FWCMS dan ia tidak merupakan pengendorsan institusi.

“Pendirian syarikat sentiasa jelas bahawa falsafah reka bentuk FWCMS diasaskan kepada prinsip-prinsip yang diiktiraf di peringkat antarabangsa berkaitan ketelusan, pengambilan pekerja secara beretika, tadbir urus, kebolehkesanan dan perlindungan pekerja migran, iaitu prinsip yang turut diperjuangkan secara konsisten oleh ILO dan badan antarabangsa lain.

“Rujukan Bestinet terhadap keselarasan tersebut adalah berkaitan falsafah reka bentuk dan objektif tadbir urus sistem, dan tidak pernah dimaksudkan sebagai gambaran bahawa FWCMS menerima pengendorsan rasmi daripada ILO,” memetik kenyataan itu pada Khamis.

Pada masa sama, kenyataan itu memaklumkan, penjelasan ILO tidak seharusnya disalah tafsir sehingga memperkecilkan kepentingan pengiktirafan antarabangsa yang diterima FWCMS, termasuk menerusi World Summit Awards (WSA).

Jelasnya, WSA kekal sebagai platform antarabangsa yang dihormati dalam mengiktiraf penyelesaian digital berimpak tinggi yang selaras dengan objektif tadbir urus awam dan pembangunan mampan.

“Pengiktirafan yang diterima FWCMS mencerminkan inovasi, kebolehskalaan dan potensi platform itu dalam menangani cabaran tadbir urus, pematuhan dan pengurusan pekerja migran yang telah lama wujud.

“Malah, WSA turut selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDG) dan diwujudkan di bawah Sidang Kemuncak Dunia Mengenai Masyarakat Bermaklumat (WSIS),” katanya. 

Must Watch Video