Skip to main content

Malaysia

Kenyataan Nik Zawawi masih dalam perhatian dan tindakan PDRM - KPN 


 IGP, KPN
Mohd Khalid berkata pihak polis turut menunggu tindakan selanjutnya dari pihak berkaitan berhubung kenyataan yang dibuat oleh Ahli Parlimen Pasir Puteh itu. - Foto Astro AWANI

KUALA LUMPUR: Kenyataan Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Nik Muhammad Zawawi Salleh didakwa menghina sahabat Nabi Muhammad SAW masih dalam pemerhatian Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata pihak polis turut menunggu tindakan selanjutnya dari pihak berkaitan berhubung kenyataan yang dibuat oleh Ahli Parlimen Pasir Puteh itu.

“Masih lagi dalam perhatian dan tindakan, apa-apa pun kita (PDRM) masih lagi menunggu daripada pihak yang berkaitan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan majlis penutup PDRM Special Dialogue V 2026 di Pusat Konvensyen KLGCC di sini, hari ini.

Namun Mohd Khalid tidak mengulas lanjut berhubung tindakan yang akan diambil oleh pihak PDRM.

Untuk rekod,  Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Daie MADANI serta beberapa NGO lain membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya hari ini.

NGO tersebut diketuai oleh Pengerusi Daie MADANI, Amir Zuhair Abdull Khalid sambil menggesa pihak polis menyiasat Nik Zawawi atas kenyataan yang dibuat pada 8 Mei lalu di Kuala Terengganu.

Amir Zuhair berkata laporan polis dibuat bagi menyeru pihak berkuasa menyiasat Nik Zawawi di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 4 Akta Hasutan 1948.

Must Watch Video