PUTRAJAYA: Kesemua 104 perlawanan Piala Dunia FIFA 2026 akan disiarkan menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Unifi TV.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata siaran turut boleh diakses melalui platform RTM Klik dan Unifi TV 2.0, termasuk siaran tertunda serta video atas permintaan (VOD).
"Hari ini, sukacita saya umumkan bahawa kesemua 104 perlawanan akan ditayangkan di RTM dan Unifi TV. Jadi kedua-duanya akan menayangkan keseluruhan 104 perlawanan.
“Siaran secara langsung, tertunda serta video atas permintaan (VOD) boleh diakses melalui platform RTM Klik dan Unifi TV 2.0,” kata Fahmi pada sidang media mingguan, di sini, pada Rabu.
Menurutnya, RTM sebagai penyiar awam telah menjalin kerjasama strategik dengan tiga syarikat telekomunikasi utama negara, iaitu Unifi, CelcomDigi, dan U Mobile.
"Penajaan siaran Kejohanan Piala Dunia FIFA 2026 ini memperluas akses siaran sukan bertaraf dunia kepada rakyat serta memperkukuh peranan penyiaran awam negara agar kandungan berkualiti dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat tanpa kos tambahan," katanya lagi.