MENGHARUNGI kepayahan sewaktu usia muda menjadikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad seorang yang cukup kental dalam menghadapi apa jua cabaran sehingga muncul sebagai pemimpin yang dihormati di dalam dan luar negara.

Apa yang jelas ialah beliau sanggup melakukan apa juga kerja dan merebut peluang yang datang demi kelangsungan hidupnya dan keluarga tanpa mementingkan sangat soal upah.

Episod kehidupan itu selain pernah menjadi mangsa buli dikongsi beliau ketika menjadi tetamu program Geng Pagi Hot dikendalikan pengacara Fizie, Suib dan Syuk di Putrajaya, yang disiarkan stesen radio Hot FM hari ini.

Mengimbau kenangan itu, Dr Mahathir, 94, berkata, selepas menamatkan pengajian di Singapura dalam bidang perubatan, beliau mula bekerja dengan kerajaan sebagai 'medical officer' dengan gaji hanya RM400 sebulan sebelum dinaikkan kepada RM770 selepas dinaikkan pangkat sebagai 'houseman'.

"Saya tak utamakan upah dan sebagainya. Bagi saya upah tak besarpun tak mengapa tetapi kalau ada semangat nak kerja, kita akan kerja lebih baik. Tetapi kalau kita bergantung kepada upah, prestasi kerja kita tak baik sebab kita kerja hanya nak dapat duit," katanya.

Kehidupan Dr Mahathir turut dilakari episod menjadi penjaja di Pekan Rabu ketika zaman penjajahan Jepun setelah keluarganya hilang punca pendapatan.

"Pekerjaan pertama saya ialah jual goreng pisang, jual macam-macam di Pekan Rabu. Pada masa itu, zaman (penjajahan) Jepun, kita miskin, kita buat cara miskin dan kerja tidak ada. Saya bukan doktor ketika itu.

"Jadi saya kerja jual goreng pisang, jual kayu api dan sebagainya di Pekan Rabu antara tahun 1943 atau 1944. Keluarga saya pun tidak ada pendapatan sebab ramai ketika itu kakitangan kerajaan kena berhenti, abang saya berhenti kerja, bapa pun tidak dapat pencen, jadi saya terpaksa kerjalah," katanya.

Beliau menegaskan bahawa usaha keras dan pegangan kepada nilai hidup yang baik menjadi penentu kepada kejayaan.

"Maju atau tidak seseorang, sesuatu bangsa atau negara bergantung kepada nilai hidup pegangan mereka. Kalau rajin, amanah dan ada perasaan malu jika gagal, bangsa itu akan berjaya," kata perdana menteri.

Tetapi, katanya, jika bangsa itu menduduki lombong emas sekalipun, mereka tidak akan berjaya jika tidak ada usaha untuk membawa keluar emas itu dan menjadikannya barang perhiasan.

"Kebolehan antara bangsa, kaum atau individu hampir sama, tetapi kalau dia tidak suka belajar, dia lebih suka berehat, bangsa itu tidak berjaya.

"Itu saya perhatikan dalam dunia ini. Banyak negara cukup maju, namun ada negara walaupun mempunyai banyak sumber alam seperti minyak dan emas, tetapi mereka tidak usaha, mereka tidak maju," tambah beliau.

Dr Mahathir turut mengimbau zaman persekolahan yang menyaksikannya pernah menjadi mangsa buli ketika berniaga belon.

"Saya beli belon dua sen, dapat tiga belon dan jual semula satu sen, dapat (hasil) tiga sen, jadi kawan saya bawa ke kantin, saya kena beli nasi bagi kepadanya dan saya memang takut dengannya.

"Jadi dulu-dulu kadang kala saya kena bulilah," katanya.

Dr Mahathir turut berkongsi dengan pendengar bahawa minatnya memandu kereta bermula apabila memiliki kereta berbumbung kain sejak zaman belajar di Singapura lagi sehingga beliau kadangkala sanggup memandu dari Singapura ke Kuala Lumpur hingga ke Alor Setar.

"Saya seronok bawa kereta walaupun kadangkala malam-malam berasa sakit kaki sikit sebab tekan pedal, tetapi bawa kereta itu macam satu hiburan.

"Paling laju saya pernah bawa ialah 180 km/j, lebih daripada itupun kadangkala ada sebab masa itu Maju Highway belum buka, jadi kita ada akses dan tidak ada kereta lain, jadi saya bawa lajulah.

"Tetapi kadangkala dengan isteri (Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali) saya bawa perlahanlah sebab dia selalu cakap dengan saya jangan deraih...jangan deraih (laju)," katanya sambil tergelak kecil.

Ketika ditanya siapa yang kuat merajuk antara beliau dan isteri, Dr Mahathir berkata, kebanyakan masa sebelum ini dirinya suka merajuk dengan isteri terutama melibatkan isu masa.

"Saya ni selalu nak 'on time', saya tak suka lambat, jadi bila saya siap dia tak siap saya kecewalah, tetapi tak boleh betulkan (masalah lambat).

"Sekarang saya terima dia mesti lambat dan saya mesti terima hakikat nak tunggu dia, jadi tidak ada masalah," katanya yang kini mempunyai 18 cucu, jumlah yang ramai sehingga kadangkala terlupa nama mereka. - BERNAMA