MALAYSIA
Kepengerusian ASEAN 2025: Malaysia perlu terajui perdagangan Intra-ASEAN

Malaysia diyakini mampu menyatukan komuniti ASEAN melalui kepengerusian 2025 dengan tema "Keterangkuman dan Kemampanan". - Gambar/ Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Peningkatan perdagangan antara negara anggota ASEAN mampu menjamin kestabilan bekalan dan rantaian ekonomi serantau dalam menghadapi ketidaktentuan global yang meningkat, kata seorang ahli akademik.
Ringkasan AI
- Perdagangan antara negara ASEAN hanya 22.9%, jauh lebih rendah berbanding EU, walaupun ASEAN berpotensi menjadi ekonomi keempat terbesar dunia menjelang 2030. Meningkatkan perdagangan serantau penting untuk kestabilan bekalan dan daya tahan ekonomi.
- Malaysia diyakini mampu menyatukan komuniti ASEAN melalui kepengerusian 2025 dengan tema "Keterangkuman dan Kemampanan", serta memainkan peranan strategik dalam konteks geopolitik global.
- Pergantungan kepada sumber luar menjadikan ASEAN terdedah kepada gangguan bekalan dan konflik global. Kerjasama serantau seperti pertukaran hasil pertanian dan sumber asli boleh menjamin kestabilan ekonomi.
ASEAN mempunyai hampir 700 juta penduduk, iaitu kira-kira sembilan peratus populasi dunia dan merupakan ekonomi kelima terbesar dunia dengan gabungan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bernilai US$4.1 trilion pada 2024.
Norazlan menjelaskan pergantungan kepada sumber luar telah menyebabkan gangguan bekalan dan kenaikan harga berikutan konflik seperti perang Ukraine-Rusia.
Oleh itu, katanya meningkatkan kerjasama perdagangan dalam kalangan negara ASEAN adalah penting untuk menjamin kestabilan bekalan.
"Sebagai contoh, Thailand membekalkan padi manakala Malaysia dan Indonesia menghasilkan kelapa sawit. Jika perdagangan ini diperkuatkan dalam ASEAN, kestabilan bekalan akan lebih terjamin," katanya.
Beliau turut yakin Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia pada tahun ini mampu menjadi pemangkin kepada usaha menyatukan komuniti ASEAN dan memperkukuh kerjasama serantau.
Kini, ASEAN mencatatkan perdagangan dengan China dan Amerika Syarikat (AS), masing-masing sebanyak 14.8 peratus, EU (sembilan peratus), Jepun (6.8 peratus), Hong Kong (5.8 peratus) dan Korea Selatan (4.1 peratus).
Sebagai rantau yang bergantung pada perdagangan, ASEAN turut terkesan dengan isu tarif balas AS.
Dalam konteks geopolitik, Norazlan melihat Malaysia sebagai negara yang unik dan strategik.
"Kita ialah negara Komanwel, tidak mempunyai masalah dengan negara Barat atau AS. Sebagai anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), hubungan kita juga baik dengan negara Islam. Hubungan dengan China dan India juga baik disebabkan komposisi masyarakat yang pelbagai," katanya.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 bermula hari ini dengan mesyuarat peringkat pegawai kanan, diikuti mesyuarat menteri pada 25 Mei dan kemuncaknya mesyuarat ketua-ketua kerajaan pada 26 Mei (Isnin).
Malaysia mengambil alih jawatan pengerusi ASEAN daripada Laos bermula 1 Jan 2025 dengan tema "Keterangkuman dan Kemampanan", mencerminkan aspirasi untuk membentuk ASEAN yang bersatu dan makmur.
Ini merupakan kali kelima Malaysia menjadi pengerusi ASEAN selepas tahun 1977, 1997, 2005 dan 2015.
ASEAN kini dianggotai 10 negara Asia Tenggara, iaitu Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam manakala Timor-Leste masih dalam proses untuk menyertai secara rasmi.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami