KUALA LUMPUR: Kerajaan Perikatan Nasional (PN) hari ini dilihat sudah melakukan yang terbaik, namun perlu memperbetulkan beberapa perkara dalam pentadbiran mereka.

Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Pengkomersialan), Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sarawak, Dr Arnold Puyoh menyifatkan corak kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin boleh dipuji, namun kesal kerana pemimpin bawahannya tidak mengambil pendekatan untuk menuruti jejak langkahnya.

"Sepatutnya corak kepimpinan Tan Sri Muhyiddin menjadi ikutan orang-orang di bawahnya, membantu mengekalkan standard kerajaan PN.

"Apabila mereka gagal melakukannya, ia sedikit sebanyak menjejaskan reputasi Perdana Menteri.

"Kalau mahu diukur, beliau (Perdana Menteri) layak mendapat markah yang tinggi, berdasarkan kemampuan mentadbir negara dalam tempoh sukar ini.

"Malah saya puji cara beliau yang jarang bercakap tentang politik dan lebih menumpukan kepada isu rakyat setiap kali muncul di televisyen," katanya dalam sesi Webinar Bicara Politik Khas Pertubuhan Intelek Negara (PINTAR): Setahun Pemerintahan Perikatan Nasional, hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Tan Sri Dr Ibrahim Abu Shah berkata, beberapa isu besar yang boleh menggugat peluang PN untuk terus kekal sebagai kerajaan dalam pilihan raya akan datang, perlu diselesaikan secepat mungkin.

"Tindakan drastik yang lebih efektif perlu diambil oleh pemimpin Melayu Islam, tidak kira dari parti mana pun.

"Isu hubungan antara kaum juga perlu diperbetulkan. Kerajaan dominan Melayu-Islam hari ini perlu cari jalan untuk selesaikan masalah ini. Jika kita tidak mendapat sokongan daripada kaum-kaum lain, itu juga boleh menjadi masalah dan kesukaran buat kita.

"Tetapi yang lebih penting, hubungan sesama parti Melayu-Islam perlu menjadi tonggak, mesti berlapang dada memikirkan hal rakyat dan jangan berpecah," ujar beliau lagi.