KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan, Datuk Seri Najib Razak menzahirkan kesyukuran dan kelegaan selepas Mahkamah Tinggi hari ini membebaskan bekas Perdana Menteri itu atas pertuduhan meminda laporan audit syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Tegas peguam itu, keputusan tersebut jelas menunjukkan mahkamah berpuas hati terhadap kes anak guamnya itu bahawa tiada sebarang elemen rasuah boleh dikaitkan dengan pertuduhan berkenaan.

“Najib berkomunikasi dengan kami. Beliau sangat lega kerana hakim membuat keputusan ini kerana ia bukan sekadar pembebasan dan pelepasan. (Tetapi) Anda mesti melihat lebih daripada itu. 

“Hakim boleh sahaja berkata tiada prima facie dan dibebaskan dan dilepaskan tetapi pertuduhan itu membuat penemuan khusus. 

“Dalam kes Arul Kanda (Kandasamy), beliau diberi sijil (indemniti), di mana beliau disingkirkan daripada sebarang kewajaran (pertuduhan) dan didapati sebagai orang yang boleh dipercayai,” katanya dalam sidang media di lobi mahkamah pada Jumaat.

Dengan pembebasan Najib juga, Muhammad Shafee mendakwa, pertuduhan itu adalah bermotifkan politik.

“… dan apabila ia berunsurkan politik, terdapat dimensi dan konspirasi lain. Peguam dalam kes tersebut tidak dapat meramalkan (pertuduhan) kerana ia dinamika politik.

“Dalam kes ini, ia adalah kes pertama pertuduhan politik yang kami mendapat keputusan positif,” ujar peguam itu lagi.

Dalam pada itu, Muhammad Shafee tidak menolak bahawa keputusan tersebut sebagai permulaan yang baik bagi pertuduhan lain yang dihadapi Najib termasuk melibatkan SRC International Sdn Bhd.

Sebelum ini media melaporkan Mahkamah Persekutuan akan memutuskan permohonan Najib untuk menyemak semula keputusan terdahulu dalam kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International selewat-lewatnya 31 Mac ini.

Mahkamah Tinggi di sini hari ini membebaskan Najib dan Arul Kanda Kandasamy tuduhan meminda laporan audit 1MDB.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan yang kini Hakim Mahkamah Rayuan membuat keputusan itu di akhir kes pendakwaan selepas mendapati pendakwaan tidak berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Najib dan Arul Kanda.

Mahkamah turut membebaskan Arul Kanda daripada tuduhan bersubahat dengan Najib melakukan pindaan itu selepas memberikannya sijil indemniti (pengecualian liabiliti undang-undang) kerana keterangan yang beliau berikan selaku saksi pendakwaan pada Ogos tahun lalu adalah benar dan menyeluruh.

Najib, 70, selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan ketika itu, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan bagi dirinya iaitu perlindungan daripada tindakan sivil atau jenayah berkaitan peranannya di dalam perjalanan operasi syarikat 1MDB.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu didakwa mengarahkan Laporan Pengauditan 1MDB dimuktamadkan Ketua Audit Negara, dipinda sebelum laporan berkenaan dimuktamadkan semula dan dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), yang mana Najib secara langsung mempunyai kepentingan.

Pendakwaan menutup kesnya pada 7 September tahun lalu selepas memanggil 16 saksi bagi memberi keterangan dalam perbicaraan berlangsung selama 43 hari bermula hari pertama pembukaan perbicaraan kes pada 18 November 2019.

Pada 24 Jun tahun lalu, mahkamah membenarkan permohonan pendakwaan untuk memanggil Arul Kanda sebagai saksi bagi memberikan keterangan terhadap Najib mengikut Seksyen 63 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pendakwaan kemudian menawarkan 18 saksi kepada pembelaan, antaranya bekas Pengerusi Jawatankuasa Kira Kira Wang Negara, Datuk Nur Jazlan Mohamed; bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi.