PUTRAJAYA: Keputusan Kerajaan Negeri Kelantan untuk tidak membenarkan penganjuran Bazar Ramadan di negeri itu adalah keputusan kerajaan negeri.

Demikian jelas Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika diminta mengulas berkenaan keputusan terbabit yang mendapat pelbagai reaksi masyarakat di negeri itu.

"Sepatutnya apabila Majlis Keselamatan Negara (MKN) benarkan sesuatu perkara dilaksanakan sepatutnya ianya diikuti setiap negeri di seluruh negara.

"Walau bagaimanapun, kita (kerajaan Pusat) berpandangan kerajaan negeri boleh mengikut budi bicara mereka berdasarkan kes di negeri mereka.

"Kita sudah buat keputusan dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), (tetapi) kerajaan negeri boleh buat peraturan lebih ketat jika rasa itu perlu," katanya dalam sidang media  harian PKP di sini pada Isnin.

Ujar Ismail Sabri lagi, kerajaan negeri juga boleh mengetatkan sebarang SOP yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Persekutuan, tetapi tidak boleh melonggarkannya.

Malah kerajaan negeri juga kata Ismail Sabri diingatkan agar mematuhi SOP yang telah dikeluarkan di peringkat Persekutuan agar tidak mengakibatkan kekeliruan dalam kalangan rakyat.

"Kita meminta kerajaan negeri perlu patuh kepada SOP dikeluarkan Kerajaan Persekutuan supaya kita boleh menyeragamkan (SOP) supaya tidak mengelirukan rakyat," ujarnya lagi.

Semalam ini, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri Kelantan, Dr Izani Husin memaklumkan bahawa bazar Ramadan dan Aidilfitri di seluruh negeri itu dibatalkan susulan peningkatan berterusan kes jangkitan COVID-19.

Jelasnya, kemudahan Program Madinah Ramadan juga ditukarkan menjadi Pusat Rawatan Dan Kuarantin COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) bagi membendung penularan wabak di negeri itu.