MALAYSIA
Najib gagal tunjuk usaha wajar dapat dokumen tambahan - Peguam Negara

Mahkamah Persekutuan hari ini dimaklumkan bahawa Datuk Seri Najib Razak gagal menunjukkan usaha wajar bagi mendapatkan dokumen tambahan (adendum) ketika prosiding permohonan kebenaran semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi. - Gambar fail/BERNAMA
PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini dimaklumkan bahawa Datuk Seri Najib Razak gagal menunjukkan usaha wajar bagi mendapatkan dokumen tambahan (adendum) ketika prosiding permohonan kebenaran semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi.
Ringkasan AI
- Mahkamah Persekutuan dimaklumkan Najib Razak gagal menunjukkan usaha wajar mendapatkan dokumen adendum berkaitan permohonan semakan kehakiman untuk menjalani baki hukuman di rumah.
- Peguam Negara berhujah Najib tidak berusaha mengesahkan kesahihan adendum dengan pihak Istana Pahang atau menggunakan kemudahan di penjara untuk mendapatkan bukti.
- Peguam Najib mendakwa Pejabat Peguam Negara sudah mengetahui tentang titah adendum itu, dengan pendengaran rayuan akan bersambung pada 9 Julai.
Beliau berkata anak responden Datuk Mohamad Nizar yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Pahang, boleh sahaja mendapatkan adendum itu dengan usaha wajar yang munasabah memandangkan beliau sering menghadiri mesyuarat dan menghadap Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah.
"Bagaimanapun, dokumen itu hanya diperoleh selepas keputusan Mahkamah Tinggi diumumkan, iaitu yang menolak kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman oleh Najib," katanya.
"Kegagalan mematuhi syarat ini menjadikan permohonan untuk mengemukakan bukti baharu tidak boleh diterima," katanya pada prosiding rayuan Peguam Negara terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan rayuan Najib untuk memulakan prosiding semakan kehakiman berhubung Titah Adendum di Mahkamah Tinggi dan mengemukakan bukti baharu.
Mohd Dusuki turut berhujah bahawa keputusan minoriti Mahkamah Rayuan adalah tepat apabila mendapati tiada usaha wajar dilakukan oleh pihak responden.
"Malah, responden juga tidak cuba menghubungi pihak Istana Pahang untuk mengesahkan kesahihan adendum yang didakwa dilampirkan pada perintah utama bertarikh 29 Januari 2024.
"Walaupun berada di Penjara Kajang, responden dibenarkan menggunakan kemudahan yang tersedia untuk berhubung dengan pihak berkuasa. Beliau yang mendakwa kewujudan dokumen tersebut perlu membuktikannya," katanya.
Beliau juga menyifatkan permohonan semakan kehakiman Najib hanya berasaskan khabar angin kerana bukti yang dikemukakan tidak mencapai tahap kebolehpercayaan minimum untuk diterima sebagai bukti baharu.
Sementara itu, peguam yang mewakili Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, berhujah bahawa Pejabat Peguam Negara sebenarnya sudah mengetahui kewujudan titah adendum itu kerana ia telah dialamatkan kepada bekas Peguam Negara yang kini Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh.
Pendengaran rayuan di hadapan panel tiga Hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan oleh Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim, dan bersidang bersama-sama Datuk Zabariah Mohd Yusof serta Datuk Hanipah Farikullah akan bersambung pada 9 Julai ini.
Najib kini sedang menjalani hukuman penjara enam tahun berkaitan kes SRC International Sdn Bhd selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuan dan permohonan semakannya.
Pada Februari tahun lepas, Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman asal 12 tahun penjara dan denda RM210 juta kepada enam tahun penjara dan denda RM50 juta.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami