KUALA LUMPUR: Keputusan permohonan melanjutkan pengajian ke Universiti Awam Sesi Akademik 2021/2022 bagi lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) atau setaraf akan diumumkan hari ini.

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam satu kenyataan berkata, semakan keputusan boleh dibuat secara dalam talian mulai 12 tengahari mulai 15 September hingga 25 September.

Semakan boleh dilakukan di pautan berikut antaranya https://jpt.utm.my; http://jpt.uum.edu.my; https://jpt.unimas.my; dan http://jpt.ums.edu.my.

"Pengesahan setuju terima tawaran dan surat tawaran boleh dicetak mulai 16 September hingga 25 September 2021 di laman web universiti awam.

"Surat tawaran rasmi akan dikeluarkan oleh UA kepada yang berjaya mulai 16 September 2021 setelah calon membuat pengesahan setuju terima tawaran dalam tempoh 10 hari seperti yang dinyatakan.

"Hanya pemohon yang gagal mendapat tawaran sahaja boleh mengemukakan permohonan rayuan. Rayuan boleh dibuat melalui UPUOnline bagi kemasukan ke UA di https://upu.mohe.gov.my dalam tempoh 11 hari mulai 15 September 2021 sehingga 25 September 2021," katanya pada Rabu.

KPT menambah, tawaran tempat bagi sesi akademik 2021/2022 adalah muktamad dan sebarang permohonan pertukaran program dan universiti tidak dibenarkan.

"Dasar pemilihan rayuan adalah tertakluk kekosongan tempat yang ditawarkan mengikut program pengajian selepas pendaftaran pelajar baharu selesai dilaksanakan," jelasnya.