MALAYSIA
Keputusan Heidy Quah cabar Seksyen 233 Akta Komunikasi ditetapkan 19 Ogos

Mahkamah Rayuan hari ini menetapkan 19 Ogos depan untuk menyampaikan keputusan berhubung rayuan difailkan seorang aktivis wanita yang mencabar kesahan sebahagian peruntukan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. - Gambar fail/BERNAMA
Mahkamah Rayuan hari ini menetapkan 19 Ogos depan untuk menyampaikan keputusan berhubung rayuan difailkan seorang aktivis wanita yang mencabar kesahan sebahagian peruntukan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Panel tiga hakim diketuai Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Lee Swee Seng bersama dua Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Hashim Hamzah dan Datuk Azman Abdullah, menetapkan tarikh berkenaan selepas semua pihak selesai mengemukakan hujahan pada prosiding di sini.
Rayuan itu difailkan oleh Heidy Quah Gaik Li, pengasas pertubuhan Refuge for Refugees, susulan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada September 2023 menolak saman beliau untuk mencabar peruntukan undang-undang tersebut.
Quah, 31,mempertikaikan penggunaan istilah "menyinggung" dan "jelik" dalam Seksyen 233 akta itu yang didakwanya bercanggah dengan hak asasi manusia seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.Peruntukan Seksyen 233(1)(a) memperuntukkan kesalahan berkaitan penyebaran kandungan lucah, sumbang, palsu, jelik melampau atau mengancam, dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiaya, mengugut atau mengganggu orang lain.
Prosiding hari ini merupakan sambungan perbicaraan yang dimulakan sebelum ini. Hakim Lee ketika itu masih berkhidmat di Mahkamah Rayuan sebelum dilantik ke Mahkamah Persekutuan pada Mei lalu.
Peguam Kanan Persekutuan Liew Horng Bin, yang mewakili Kerajaan Malaysia berhujah kenyataan yang mengandungi kata-kata kesat, penghinaan, rujukan lucah, ucapan kebencian atau hasutan kepada keganasan bukanlah bentuk ekspresi yang dilindungi di bawah Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan.
Katanya kebebasan bersuara seharusnya digunakan untuk menyampaikan kebenaran, menjunjung maruah manusia serta memenuhi fungsi penyampaian maklumat penting kepada masyarakat.
Bagaimanapun, peguam Datuk Malik Imtiaz Sarwar yang mewakili Quah berhujah bahawa penggunaan perkataan "menyinggung" dan "jelik" dalam Seksyen 233 bercanggah dengan Perkara 10 dan Perkara 8 Perlembagaan yang menjamin hak kesaksamaan dan kebebasan bersuara.
Beliau menegaskan dua perkataan itu tidak termasuk dalam kategori "sekatan yang dibenarkan"atas alasan ketenteraman awam sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan.
Terdahulu, pada Julai 2021, Quah didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan membuat kenyataan menyinggung perasaan menerusi satu hantaran di Facebook.
Namun, pada April tahun berikutnya, beliau dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) selepas mahkamah mendapati pertuduhan mengikut Seksyen 233(1)(a) adalah cacat.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami