Kerajaan memandang serius keputusan mahkamah berhubung kes sivil berkaitan kematian Allahyarham Syed Mohd Azlan ketika berada di dalam tahanan pihak polis beberapa tahun lalu.

Menteri di Jatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong menerusi satu kenyataan berkata, terdapat keperluan akauntabiliti serta jaminan keselamatan bagi seseorang individu yang berada di bawah tahanan mana-mana agensi penguatkuasaan.

“Kerajaan memandang keputusan kehakiman ini dengan kebimbangan yang serius. Terdapat keperluan untuk akauntabiliti dan setiap orang dalam jagaan mana-mana agensi penguatkuasaan undang-undang mesti dijamin keselamatan mereka.

“Kerajaan akan teruskan dengan penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis (IPCMC) yang akan mempunyai kuasa untuk menyiasat kes-kes seperti ini dan memastikan terdapat akauntabiliti”, katanya menerusi kenyataan berkenaan.

Ujarnya lagi, kerajaan akan turut mengadakan pertemuan bersama pihak terlibat antaranya Polis Diraja Malaysia agar kepentingan kesemua pihak dapat didengar.

Pada 25 November 2014, Polis Johor menyatakan kematian seorang lelaki selepas ditahan dalam satu serbuan di Pengerang adalah sebagai kematian mengejut.

Bagaimanapun hasil bedah siasat mendapati kematian Syed Mohd Azlan, 26 tahun, disebabkan trauma hentakan tumpul di dada.

Pemeriksaan terhadap mayatnya turut menemui 61 jenis kecederaan di bahagian muka, badan dan kedua-dua kaki yang sebahagiannya dikatakan konsisten dengan pergerakan mempertahankan diri ketika menerima serangan fizikal.

Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada Khamis telah mengarahkan pihak polis membayar RM448,000 terhadap waris sebagai nilai pampasan ekoran kekarasan fizikal yang dilakukan oleh pihak polis.