KUALA LUMPUR: Keputusan kes bekas Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman atas empat pertuduhan bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram (AMLA) di Mahkamah Tinggi di sini akan ditetapkan pada tarikh yang akan diputuskan kemudian.

Hakim, Datuk Azhar Abdul Hamid memutuskan demikian selepas pihak pembelaan dan pendakwaan selesai berhujah di akhir kes pembelaan pada Selasa.

“Jangan risau, saya tidak akan mengambil masa yang lama (untuk membuat keputusan), tarikh itu akan dimaklumkan dalam tempoh terdekat,” katanya.

Pada 22 Februari lalu, Syed Saddiq mula membela diri atas empat pertuduhan termasuk didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim yang diamanahkan dana RM1 juta dan melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu selepas diperintahkan mahkamah pada 28 Oktober 2022.

Seramai empat saksi pembelaan (SD) termasuk Syed Saddiq yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan di dipanggil memberi keterangan.

Tiga yang lain ialah SD2, bekas Ketua Penerangan Armada, Ulya Aqamah Husamudin; SD3, bekas pegawai khasnya, Mohamed Amshar Aziz dan SD4, bekas Setiausaha Peribadi Syed Saddiq, Siti Nurul Hidayah.

Pada 27 September tahun lalu, pendakwaan menutup kesnya setelah 30 saksi termasuk ibu bapa Syed Saddiq, Shariffah Mahani Syed Abdul Aziz dan Syed Abdul Rahman Abdullah Asagoff, selesai memberi keterangan dalam perbicaraan bermula 21 Jun tahun sama.

Sementara itu, semasa hujahan, pasukan pendakwaan menghujahkan bahawa, sejak awal lagi wujud niat untuk menggunakan akaun Armada Bumi Bersatu Enterprise (ABBE) kerana kutipan dana adalah untuk kegunaan Armada dan bukannya kegunaan peribadi tertuduh.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata, sekiranya benar dana kutipan adalah untuk kegunaan peribadi tertuduh, sudah tentu akaun bank peribadi akan digunakan.

“Kami menghujahkan penjelasan saksi-saksi pembelaan berkenaan penggunaan akaun ABBE dalam kutipan dana langsung tidak munasabah dan meragukan.

“Pasukan Syed Saddiq juga hanya mengemukakan pembelaan penafian semata-mata tanpa disokong bukti kukuh,” katanya.

Wan Shaharuddin berkata, Syed Saddiq ketika membela diri juga tidak tidak menafikan wujudnya komunikasi antara beliau dan Penolong Bendahari Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu (ketika itu), Rafiq Hakim Razali.

Menurutnya, komunikasi berkenaan adalah berhubung arahan pemindahan wang berjumlah RM120,000 melalui hasil kutipan majlis meraih dana ke dalam akaun Maybank peribadi Syed Saddiq.

“Tertuduh tidak menafikan Rafiq Hakim melakukan pemindahan sejumlah wang itu melalui empat kali transaksi wang berjumlah RM30,000, masing-masing yang bertarikh 8, 11, 12 dan 21 April 2018.

“Beliau juga tidak menafikan bahawa wang dikatakan hasil daripada majlis meraih dana itu tidak pernah dibelanjakan sehinggalah wang RM100,000 dipindahkan melalui dua kali transaksi RM50,000 ke dalam akaun Amanah Saham Bumiputra (ASB) miliknya, masing-masing pada 16 dan 19 Jun 2018,” katanya.

Menyentuh isu bayaran balik, kononnya wang RM120,000 diambil kerana tertuduh telah menggunakan wangnya sendiri, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd ‘Afif Ali berkata, perkara itu tidak dimaklumkan kepada bekas Penolong Bendahari Armada Bersatu, Rafiq Hakim Razali, 33.

Sedangkan Rafiq yang juga saksi pendakwaan ke-13, katanya, merupakan individu yang memindahkan wang dari ABBE ke akaun Maybank tertuduh malah diakui sendiri oleh anak jati Johor Bahru itu.

“Dakwaan wang itu bagi menggantikan wangnya yang telah digunakan sebelum itu tidak disokong dengan mana-mana keterangan.

“Tiada penjelasan menunjukkan kutipan tersebut bertujuan menggantikan wang peribadinya, malah tiada keterangan menunjukkan wang peribadi tertuduh telah digunakan sepenuhnya terlebih dahulu bagi membuat apa-apa pembayaran kempen,” katanya.

Selain Wan Shaharuddin, pendakwaan turut dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Afif Ali sementara pembelaan oleh peguam, Gobind Singh Deo yang mewakili Syed Saddiq.

Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali iaitu Penolong Bendahari Armada Bersatu yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta, melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini, pada 6 Mac 2020 mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun, sebat dan dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq melupuskan wang terbabit.

Syed Saddiq didakwa melakukan perbuatan itu di Malayan Banking Berhad, Taman Pandan Jaya di sini, antara 8 hingga 21 April 2018 mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun, sebat dan denda.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Syed Saddiq dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018 didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, Syed Saddiq berdepan hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram. -Sinar Harian