KUALA LUMPUR:Keputusan lanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kuching hanya akan ditentukan menerusi mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak pada Ahad.

Menerusi pemangku Pengerusinya, Tan Sri Dr James Jemut Masing berkata, mesyuarat akan mengambil kira situasi semasa kes positif COVID-19 di daerah itu.

”Mesyuarat yang akan berlangsung pada 22 November 2020 ini adalah bagi membincangkan sama ada kita (JPBN Sarawak) perlu melanjutkan tempoh PKPB atau sebaliknya.

“Untuk itu kita juga akan memantau jumlah kes positif terbaharu yang dicatatkan dalam tempoh dua hari ini,” kata James.


Selain itu Masing turut mengingatkan semua agensi yang terlibat dalam kawalan kawasan sempadan untuk terus memastikan tiada pendatang asing tanpa izin (PATI) yang lolos masuk ke negeri itu.

Ini bagi memastikan penularan COVID-19 di negeri itu dapat dikekang sebaiknya.

Terdahulu pada 7 November, JPBN Sarawak mengumumkan PKPB di Kuching selama 14 hari bermula 9 hingga 22 November 2020.