Mahkamah Tinggi Pulau Pinang menetapkan 7 Mac depan bagi keputusan petisyen mencabar kesahihan Seksyen 62 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia ( SPRM) yang difailkan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan ahli perniagaan, Phang Li Koon.

Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujah dari pihak pendakwaan dan pembelaan pada prosiding yang berlangsung hari ini.

Pendengaran dua notis usul itu dibuat selepas Lim dan Phang mencabar untuk mengisytiharkan seksyen 62 Akta SPRM 2009 itu sebagai tidak berpelembagaan dan tidak sah.

Seksyen 62 menetapkan tertuduh perlu menyerahkan antara lain pernyataan pembelaan kepada pihak pendakwaan sebelum perbicaraan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Masri Mohd Daud dan peguambela Gobind Singh bagi mewakili Lim manakala Datuk V. Sithambaram mewakili Phang mengemukakan hujah mereka selama dua jam.

Pada 6 Disember lepas, Hadhariah menetapkan tarikh bagi kes berkenaan mulai dari 27 Mac hingga 21 Julai untuk perbicaraan.

Pada 30 Jun tahun lepas, Lim mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan rasuah berhubung penukaran status tanah daripada zon pertanian kepada zon perumahan serta pembelian lot tanah dan banglo di bawah nilai pasaran.

Bagi pertuduhan pertama, Lim didakwa sebagai penjawat awam iaitu menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan bagi dirinya dan isterinya Betty Chew Gek Cheng, dengan meluluskan permohonan perlingkungan semula daripada zon pertanian kepada zon perumahan awam di Daerah Barat Daya Pulau Pinang kepada syarikat Magnificient Emblem Sdn Bhd.

Lim didakwa melakukan kesalahan itu ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri Pulau Pinang di Bilik Gerakan, tingkat 28, bangunan Komtar di George Town pada 18 Julai, 2014.

Dia didakwa mengikut seksyen 23 Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang 5 kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, atau mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Lim didakwa sebagai penjawat awam mendapatkan untuk dirinya suatu barang berharga dengan suatu balasan yang diketahui tidak mencukupi, iaitu lot tanah dan sebuah rumah yang terletak di alamat no 25, Jalan Pinhorn, George Town daripada Phang dengan harga RM2.8 juta.