PUTRAJAYA: Kerajaan negeri Kelantan menzahirkan rasa kecewa selepas keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung petisyen yang difailkan peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid tidak memihak sepenuhnya kepada mereka.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr Mohamed Fadzil Hassan berkata, pihaknya akan memaklumkan dengan segera kepada Sultan Kelantan berhubung keputusan tersebut.

"Saya bagi pihak kerajaan negeri dan rakyat Kelantan kecewa dengan keputusan yang dibuat," katanya ketika ditemui pemberita di Istana Kehakiman di sini pada Jumaat.

Menurutnya, Jawatankuasa khas yang telah ditubuhkan akan meneliti penghakiman penuh keputusan tersebut sebelum kajian dilakukan.

“Sudah tentu ia tidak akan berhenti di sini, kita akan cari jalan apa langkah seterusnya," katanya.

Ujar beliau keputusan itu bukan sahaja membabitkan kepentingan dan kebimbangan Kelantan tetapi juga negeri lain dan Kerajaan Persekutuan.

"Saya percaya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mempunyai sokongan dua pertiga boleh meminda Perlembangaan untuk kepentingan mahkamah syariah," katanya.

Jelas Dr Mohamed Fadzil, sekiranya peruntukan di dalam Perlembagaan dan Perkara 4(4) menghalang DUN untuk membuat sebarang undang undang, Kerajaan Persekutuan perlu melakukan sesuatu.

"Tolong pastikan apa yang perlu dipinda, dipinda. Ini berkaitan bidang kuasa mahkamah syariah," katanya.

Tambahnya lagi, sesetengah pihak mungkin berpendapat bahawa kesalahan tersebut juga terdapat di dalam Kanun Keseksaan tetapi ia mestilah menjelaskan perbezaan antara undang-undang jenayah syariah dan jenayah sivil.

"Berkaitan dengan keterangan dan adjudikasi dan sebagainya, ia adalah perkara yang berbeza sama sekali," katanya.

Dalam pada itu beliau turut menasihati semua pihak yang tidak berpuas hati agar tidak mengambil tindakan di luar batas undang-undang.

"Jangan lakukan apa-apa yang boleh ditafsirkan sebagai provokatif.

"Sokonglah kami dalam hal ini," katanya. - Sinar Harian