NATIONAL
Keputusan SPM: Jangan cepat melatah, lihat dahulu peratusan pelajar cemerlang

Dilaporkan seramai 84,025 calon gagal dalam subjek Matematik dalam Laporan Analisis Keputusan Peperiksaan SPM 2024 baru-baru ini. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Naib Presiden (Pendidikan, Kebudayaan dan Kenegaraan), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Radin Muhd Imaduddin berkata, masyarakat tidak boleh cepat melatah dengan menyalahkan guru mahupun pihak kementerian dengan penurunan pencapaian subjek Matematik dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.
Sebaliknya beliau berkata, masyarakat harus melihat pencapaian peratusan pelajar-pelajar yang cemerlang dalam mata pelajaran berkenaan.
“Setiap kali keputusan SPM diumumkan, kita cepat sangat melompat, panik dan menilai tanpa usul periksa. Lebih-lebih lagi apabila disebut angka kegagalan Matematik. Tahun ini misalnya, 84,025 calon gagal dalam subjek tersebut.
“Angka itu besar, tapi persoalan yang lebih penting ialah apa yang telah berubah? Apa yang sedang berlaku dalam sistem kita? Kita seharusnya melihat pencapaian kejayaan mereka.“Sebanyak 49.5 peratus pelajar atau 185,682 calon mendapat sekurang-kurangnya gred C. Berbanding hanya 44.9 peratus pada tahun 2021, ini menunjukkan peningkatan lebih 16,000 pelajar.
"Maksudnya di sini, ada peluang dan ruang tambahan 16,000 pelajar untuk melanjutkan pelajaran ke bidang yang berkaitan dengan minimum pencapaian C,” kata beliau dalam hantaran dilaman Facebook miliknya.
Menurut Radin, pencapaian murid yang memperoleh Cemerlang dan Kepujian dalam subjek berkenaan dari 2021 sehingga 2024 terus meningkat.
“Jika dilihat dari spektrum pencapaian ini, pada tahun 2024 jumlah itu merekodkan peratusan yang baik dengan 49.5 peratus membabitkan 185,682 orang pelajar menunjukkan rekod baik berbanding 2022, iaitu hanya 46.7 peratus membabitkan 172,486 orang pelajar yang berjaya mencatatkan rekod baik dalam matapelajaran itu.
“Berbanding tahun 2021 kita hanya merekodkan 44.9 peratus yang mencatatkan rekod baik dalam subjek itu dengan jumlah 168,822 orang berbanding tahun sebelumnya,” katanya.
Sementara itu tambah beliau, pada tahun 2024 seramai 84,025 pelajar gagal dalam subjek berkenaan dengan 22.4 peratus, manakala pada tahun 2023 seramai 85,707 pelajar dengan rekod 23.2 peratus pelajar tidak lulus dalam Matematik.
“Kita juga pernah mencatatkan rekod seramai 89,751 pelajar telah gagal dalam matapelajaran itu pada tahun 2022 dengan 24.3 peratus dan pada tahun 2021 rekod murid gagal dalam Matematik juga agak tinggi dengan 95,879 orang pelajar yang gagal dengan 25.5 peratus.
Dilaporkan sebelum ini, Kementerian Pendidikan (KPM) akan melaksanakan intervensi segera bagi semua subjek termasuk Matematik yang menyaksikan penurunan ketara dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 baru-baru ini.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya akan melakukan intervensi terhadap subjek yang menunjukkan penurunan menerusi pelbagai pendekatan.
Dilaporkan seramai 84,025 calon gagal dalam subjek Matematik dalam Laporan Analisis Keputusan Peperiksaan SPM 2024 baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, kementerian tersebut tidak hanya menumpukan program intervensi kepada satu subjek.
Sebagai rekod, berdasarkan Laporan Analisis Keputusan Peperiksaan SPM 2024 lalu, jumlah itu me¬rangkumi 22.4 peratus daripada 375,115 calon menduduki mata pelajaran berkenaan sekali gus mencatatkan keputusan gagal tertinggi dalam keseluruhan mata pelajaran yang diambil oleh calon-calon SPM.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami