KUALA LUMPUR:Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia Ulangan (SPMU) tahun ini akan diumumkan pada Isnin depan.

Menurut Kementerian Pendidikan Malaysia dalam satu kenyataan, calon boleh memperoleh keputusan melalui pos atau mendapatkan slip keputusan di Jabatan Pendidikan Negeri tempat calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan.

"Semakan keputusan SPMU 2020 juga boleh dilakukan menggunakan perkhidmatan mySMS 15888 dengan menaip SPMU<jarak>NoKP<jarak>AngkaGiliran dan SMS ke 15888.

"Perkhidmatan ini akan diaktifkan pada jam 10 pagi, 19 Oktober 2020 dan akan ditamatkan pada jam 6 petang, 26 Oktober 2020.

"Selain itu, semakan keputusan juga boleh dilakukan melalui portal Lembaga Peperiksaan di http://sppat.moe.gov.my/semakan/," jelasnya.

Untuk rekod, seramai 6,301 calon telah mendaftar untuk menduduki SPMU di 193 pusat peperiksaan di seluruh negara dan seramai 1,445 petugas peperiksaan dilantik bagi memastikan peperiksaan berjalan lancar.

Tiga mata pelajaran yang ditawarkan dalam peperiksaan SPMU ialah Bahasa Melayu, Sejarah dan Matematik.