KUALA LUMPUR: Keputusan pemimpin kerajaan yang tidak sepakat sewaktu menguruskan COVID-19 seolah-olah memberi isyarat bahawa 'kerajaan darurat' perlu diwujudkan dalam masa terdekat.

Pandangan itu disuarakan pakar undang-undang, Profesor Datuk Dr Salleh Buang yang berpendapat, kenyataan demi kenyataan yang tidak konsisten dan selari kini semakin membarah dalam kerajaan.

"Perlembagaan Persekutuan boleh memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mengambil alih kuasa diberikan kepada rakyat dengan menubuhkan Mageran 2.0 mengikut Perkara 150, Ordinan Darurat.

"Namun penambahbaikan diperlukan untuk menubuhkan Mageran 2.0 dengan jawatan pengerusi majlis itu mungkin tidak lagi diwajibkan dalam kalangan pemimpin politik susulan golongan itu, tidak kira dari parti mana sekalipun, kini berdepan defisit kepercayaan rakyat.

"Sebaiknya Yang di-Pertuan Agong melantik seorang tokoh berpengalaman, berintegriti dan negarawan dihormati semua pihak untuk mengepalai majlis khas itu dengan semua anggota dipilih perlu bertanggungjawab terus kepada Seri Paduka," katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.

Beliau berkata demikian bagi mengulas khabar angin isu ketidaksepakatan antara menteri dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) sewaktu membincangkan permohonan bagi kebenaran syarikat untuk beroperasi sepanjang tempoh Sekatan Pergerakan Penuh.

Cadangan menubuhkan 'kerajaan darurat' juga pernah dibangkitkan Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said sebelum ini yang mencadangkan ia ditubuhkan dalam masa terdekat.

Menurut Azalina, kerajaan darurat tidak semestinya dianggotai ahli politik sebaliknya jawatan dalam kerajaan itu boleh diisi individu berkelayakan dan mempunyai kepakaran yang boleh dimanfaatkan.

Dalam pada itu, Salleh menegaskan pembentukan kerajaan darurat ala Mageran 2.0 juga merupakan peluang kerajaan melakukan pembetulan kepada asas negara.

"Langkah itu seumpama usaha kerajaan kembali ke papan hitam untuk perbetulkan sistem struktur negara sebagaimana pelaksanaan Mageran 1969 yang membolehkan Rukun Negara dan Dasar Ekonomi Baru (DEB) terbentuk.

"Bagaimanapun, Mageran 2.0 tidak boleh terlalu berkuasa seperti Mageran 1969 dengan lapisan pertama pengurusan majlis itu mestilah dianggotai tokoh yang bebas politik, diikuti lapisan kedua pentadbiran yang wajib disertai oleh pemimpin politik daripada semua parti," ujarnya.