KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menambahbaik mekanisme kutipan levi dan bersedia mengkaji paras nilai ambang keuntungan dengan mengambil kira kos pengeluaran sawit, kata Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan hari ini.

Beliau berkata Akta Levi Keuntungan Luar Biasa 1998 digubal untuk mengenakan levi ke atas barangan yang boleh ditetapkan oleh Kementerian Kewangan.

Levi keuntungan luar biasa telah dikutip oleh kerajaan terhadap minyak sawit mentah dan minyak isirong minyak sawit mentah, elektrik serta buah sawit sejak Akta Levi Keuntungan Luar Biasa 1998 berkuat kuasa pada 1 Januari 1999, katanya.

"Sungguhpun tidak dikenakan levi, syarikat berpendapatan tinggi dalam tempoh pandemik seperti syarikat sarung tangan telah dikenakan Cukai Makmur secara 'one-off' (sekali bayar) bagi menyokong inisiatif kerajaan dalam membantu golongan terjejas," katanya.

Beliau berkata demikian ketika penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Kewangan 2023 di Dewan Rakyat hari ini.

"Kita tidak berhasrat untuk mengadakan Cukai Makmur kepada bank tetapi kita mengharapkan supaya mereka memberikan lebih banyak CSR kepada rakyat. Setakat ini, tiada industri selain daripada kelapa sawit yang kita mahu mengenakan levi," kata Ahmad.

Antara Januari dan Mac tahun 2023, kerajaan telah mengutip sebanyak RM251 juta manakala jumlah terkumpul kutipan levi antara tahun 1999 sehingga kini berjumlah RM7.6 bilion.

Beliau berkata kerajaan telah menggunakan hasil kutipan levi untuk subsidi minyak masak bagi menstabilkan haga minyak masak dan juga untuk mengurangkan kos sara hidup serta program pembangunan yang lain.

RUU tersebut bertujuan untuk mengesahkan pengenaan, levi dan pemungutan levi keuntungan luar biasa dan untuk menanggung rugi kerajaan dan pegawai-pegawainya yang tertentu berkenaan dengan levi keuntungan luar biasa yang telah dikenakan, dilevi dan dipungut di seluruh Malaysia dari 1 Januari 1999 hingga 31 Januari 2023.

Ahmad berkata secara umumnya pelaksanaan RUU itu tidak melibatkan kerajaan dalam sebarang perbelanjaan wang tambahan.

-- BERNAMA