KUALA LUMPUR :Kerajaan memberi jaminan untuk mengumumkan jumlah sebenar pampasan yang perlu dibayar berikutan pembatalan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura setelah ia dimuktamadkan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata wang yang akan digunakan adalah wang rakyat, justeru jumlahnya akan didedahkan.

"Walau bagaimanapun, perkara berkenaan belum dimuktamadkan. Oleh yang demikian, adalah tidak wajar untuk kerajaan bertindak mendedahkan jumlah berkenaan pampasan pembatalan projek HSR.

“Ia tertakluk kepada klausa kerahsiaan dan masih belum dimuktamadkan.

“Jadi saya berharap rakyat faham perkara ini... saya ingin beri jaminan apabila dimuktamadkan, pihak kerajaan akan maklumkan kepada rakyat. Kerana ini adalah wang rakyat, jadi sudah pasti kerajaan akan maklumkan,” katanya dalam satu temu bual eksklusif bersama Astro AWANI pada Isnin.



Projek HSR | Tidak wajar dedah jumlah pampasan batal HSR

Projek HSR | Jumlah pampasan mungkin jauh lebih rendah

BACA: Jumlah pampasan bagi pembatalan projek HSR tidak boleh didedahkan - Mustapa

BACA: Projek HSR: Pampasan, KL-JB, kerugian? - Ini penjelasan Tok Pa

Mengulas lanjut, Mustapa menjangkakan pampasan yang perlu dibayar kepada Singapura lebih rendah daripada S$270 juta.

“Jumlah pampasan bagi penamatan projek HSR tersebut, lebih rendah berbanding jumlah yang telah dibelanjakan oleh Singapura iaitu S$270 juta.

“Menteri Pengangkutan Singapura, Ong Ye Kung ada menyatakan dalam Parlimen bahawa jumlah itu mengandungi beberapa komponen.

“Pertamanya kos konsultan, kos tenaga kerja dan lain-lain kos. Beliau juga menyatakan bahawa pampasan itu tidak termasuk kos tanah,” katanya.

Dalam pada itu, Mustapa memberitahu Malaysia masih berminat untuk meneruskan projek penting berkenaan.



Projek HSR | Kerajaan masih berminat, cuma masa tidak sesuai


"Cuma apa yang menghalang ketika ini adalah pergelutan ekonomi negara, selain pandemik COVID-19 yang melanda dunia ketika ini.

“Kerajaan berpendapat bahawa projek kereta api laju ini mempunyai manfaat besar kepada negara. Cuma kita perlu membuat kajian bagi menjimatkan kos dan modal.

“Dari segi ekonomi, Malaysia menerima faedah kira-kira RM300 bilion. Jadi, oleh sebab itu negara kita masih berminat untuk mengekalkan projek penting,” katanya.

BACA: Pampasan penamatan HSR: Singapura telah belanja S$270 juta

BACA: HSR terbatal: Singapura tidak dapat terima keengganan Malaysia kekalkan AssetsCo - Menteri