KUALA LUMPUR: Kerajaan mengakui bahawa pemerkasaan wanita memainkan peranan penting dalam memacu kemakmuran negara secara keseluruhan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerajaan komited meletakkan kepentingan pemerkasaan wanita dan kemajuan rakyat menerusi konsep Malaysia MADANI.

Beliau berkata konsep Malaysia MADANI mewakili gandingan unik amalan tradisional Malaysia dan pendekatan inovatif untuk menangani isu yang muncul dan ketidakpastian, diasaskan daripada prinsip menerima perubahan, mengambil maklum balas dari semua segmen masyarakat dalam memacu perubahan substantif untuk Malaysia yang lebih maju dan makmur.

"Di Malaysia, kami melakukan langkah penting dalam memperjuangkan hak wanita dan kesamaan jantina. Kami telah melaksanakan dasar untuk meningkatkan penyertaan wanita dalam tenaga kerja, meningkatkan akses kepada pendidikan dan penjagaan kesihatan serta melindungi wanita daripada keganasan dan diskriminasi.

"Apabila wanita diperkasakan, mereka bukan sahaja mengubah kehidupan sendiri tetapi kehidupan orang di sekeliling mereka, membuat kesan riak yang memanfaatkan seluruh komuniti dan negara," kata beliau dalam ucapannya pada majlis prapelancaran Sidang Kemuncak Wanita Muslim Dunia 2024, di sini malam tadi.

Sebagai memberi laluan kepada Sidang Kemuncak Wanita Muslim Dunia 2024, yang dijadualkan pada Jun tahun ini, prapelancaran malam tadi turut dihadiri Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dan Ketua Pengarah Pusat Islam untuk Pembangunan Perdagangan Latifa El Bouabdellaoui.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata Islam menekankan kepentingan pendidikan untuk kedua-dua jantina, adalah penting untuk semua pihak membuka akses kepada pendidikan berkualiti dan pembangunan kemahiran untuk wanita Muslim dan memastikan mereka mempunyai akses sama rata kepada pendidikan pada usia muda.

Dengan menggalakkan lelaki dan wanita melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi dan mempromosikan peluang pembelajaran sepanjang hayat, Ahmad Zahid berkata ini akan melengkapkan mereka dengan pengetahuan dan kemahiran diperlukan untuk cemerlang dalam pelbagai bidang.

"Dengan menangani bidang ini dan melaksanakan strategi komprehensif, saya percaya Malaysia dan lain-lain negara Islam boleh mewujudkan satu persekitaran yang mana wanita Muslim mempunyai peluang dan sokongan diperlukan untuk mengatasi halangan, mencapai potensi mereka dan menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan negara.

"Bersama-sama, kita boleh meningkatkan kehidupan, menyokong dan memperkasakan wanita bukan hanya dalam masyarakat kita tetapi merentas tapestri dunia Islam yang pelbagai," katanya.

Beliau juga menggesa peserta sidang kemuncak ini untuk merebut peluang melantangkan suara wanita, memperjuangkan hak mereka dan bekerjasama ke arah satu masa hadapan yang setiap wanita boleh berkembang maju dan memberi impak kepada dunia.

-- BERNAMA