Perbelanjaan oleh kerajaan adalah mengikut belanjawan dan perancangan yang ditetapkan untuk mengelakkan berlakunya perbelanjaan berlebihan, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Sehubungan itu, Lim menafikan dakwaan bahawa kerajaan tidak mempunyai wang sehingga perlu menyekat perbelanjaan yang disalurkan kepada pelbagai kementerian.

Beliau berkata kerajaan hanya mengambil langkah berhati-hati bagi memastikan setiap perbelanjaan dibuat secara berhemat dan bertanggungjawab.

"(Langkah berhati-hati) Itu adalah untuk pastikan bahawa kita tidak berbelanja lebih. Kalau ia satu projek puluhan bilion yang kita tak mampu, saya rasa kalau kita berhati-hati itu adalah sikap yang bertanggungjawab dan berhemat...yang penting biarlah kita pastikan rakyat dapat bantuan. Itu saya rasa lebih penting.

"Kalau belanja lebih, belanja tanpa kawalan nanti jadi macam 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pula. Itu yang kita tak mahu lihat (berlaku)," katanya kepada pemberita selepas menghadiri rumah terbuka Tahun Baharu Cina anjuran Pusat Khidmat Kawasan Dewan Undangan Negeri Air Itam, di sini pada Sabtu.

Lim yang juga anggota Parlimen Bagan berkata kedudukan kewangan negara berada dalam keadaan baik dan ini terbukti apabila kerajaan mampu menyediakan bayaran khas RM500 kepada penjawat awam pada akhir tahun lepas.

"Apabila kita bayar bayaran khas (penjawat awam), kita bayar pada tahun sama. Kita tidak lewatkan satu tahun kemudian. Itu menunjukkan apabila kita membuat perbelanjaan ia dilaksanakan berdasarkan perancangan yang ditetapkan.

"Saya rasa mungkin ada masalah dari segi (kelewatan) pembayaran, walaupun Kementerian Kewangan telah mengeluarkan pembayaran, masalahnya mungkin dari segi pegawai tertentu (yang menyebabkan kelewatan), tapi bukan semua. Ini yang mungkin menyusahkan kerajaan. Kita harap semua pegawai kerajaan boleh jalankan kerja ikut arahan," katanya.

Terdahulu, ketika berucap pada majlis itu, Lim yakin ekonomi negara akan bertambah baik pada tahun ini berdasarkan keyakinan pelabur luar dan pengguna tempatan yang semakin meningkat.

Beliau berkata menurut kajian Keyakinan Pengguna dan Keinginan Untuk Berbelanja Global oleh Nielsen, Malaysia mencatatkan kenaikan 24 mata kepada 118 mata pada 2018 berbanding 94 mata pada 2017.

"Ini menunjukkan bukan sahaja keyakinan pelabur luar, dengan menaikkan pelaburan luar negara sebanyak 250 peratus, malah dari segi keyakinan pengguna tempatan juga telah meningkat paling tinggi berbanding semua negara.

"Kenaikan paling tinggi ini meletakkan Malaysia di kedudukan ketujuh di dunia. Sungguhpun kedudukan nombor tujuh tapi ia adalah kenaikan paling besar di antara semua negara di dunia," katanya.