PUTRAJAYA:Kerajaan mengambil kira keperluan pemberian dos kedua suntikan vaksin Pfizer kepada rakyat negara ini dalam tempoh 21 hari selepas suntikan pertama.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata, polisi yang ditetapkan Malaysia adalah berpandukan kepada ujian klinikal.

Justeru katanya, jika seseorang itu diberikan suntikan pertama, maka individu tersebut perlu menerima suntikan vaksin kedua dalam tempoh yang ditetapkan.

"Jadi kita akan memberikan (suntikan kedua) dalam tempoh 21 hari, tidak melebihi tempoh tersebut melainkan ada data klinikal yang baharu.

"Jadi semalam, panel pakar daripada Kementerian Kesihatan (KKM) telah mencadangkan kepada jawatankuasa... Kami terima, jika kita berikan satu suntikan, kita akan simpan dos kedua dalam tempoh 21 hari," katanya kepada pemberita di sini pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai amaran yang dikeluarkan oleh firma Jerman, BioNTech bahawa tiada data bagi menyokong 'keselamatan dan keberkesanan' vaksin COVID-19 sekiranya pemberian dos kedua dilengahkan melebihi tiga minggu.

Peringatan itu dikeluarkan berikutan kebimbangan mungkin ada negara lebih mengutamakan pemberian dos pertama dan seterusnya kekurangan bekalan bagi suntikan dos kedua dalam tempoh masa ditetapkan.

Jelas Khairy, kerajaan tidak akan menghabiskan kesemua vaksin yang diterima, atau menunggu lama untuk memberikan suntikan, kerana ia mungkin akan melebihi tempoh 21 hari.

Malaysia akan mendapatkan bekalan 12.8 juta dos vaksin COVID-19  daripada syarikat farmaseutikal, Pfizer bagi menampung keperluan imunisasi 20 peratus atau 6.4 juta rakyat negara ini.

Menerusi perjanjian, Pfizer dijangka penghantaran sebanyak sejuta dos pada suku pertama 2021, disusuli 1.7 juta dos pada suku tahun kedua, 5.8 juta dos pada suku tahun ketiga dan seterusnya 4.3 juta dos pada suku tahun keempat.