[TERKINI] Rawatan Tun M: 'Pembedahan bukan opsyen terbaik buat masa ini' - Mukhriz
![[TERKINI] Rawatan Tun M: 'Pembedahan bukan opsyen terbaik buat masa ini' - Mukhriz [TERKINI] Rawatan Tun M: 'Pembedahan bukan opsyen terbaik buat masa ini' - Mukhriz](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2026-01/41767775938_MukhrizMahathir.jpg)
Sementara itu, Mukhriz berterima kasih kepada semua pihak yang berkongsi rasa simpati serta turut bersama-sama mendoakan kesihatan Dr Mahathir. - Sumber foto FB Kapten B Khalifa
KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dinasihatkan berehat antara dua hingga tiga minggu susulan kecederaan patah tulang pinggul.
Anak beliau, Datuk Seri Mukhriz Mahathir menerusi satu video pada Rabu memaklumkan, disebabkan faktor usia bapanya yang sudah mencecah 100 tahun maka proses pembedahan bukan satu pilihan sesuai.
Menurut Mukhriz, pakar kesihatan dari Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) menasihatkan ahli keluarga untuk Dr Mahathir menjalani proses pemulihan biasa tanpa melibatkan pembedahan.
"Oleh kerana keadaan kesihatan beliau, tentulah kena ambil masa sikit, itu pun dalam dua tiga minggu juga untuk beliau (Dr Mahathir) berehat kerana faktor usia beliau mencecah 100 tahun.
"Pembedahan bukan satu opsyen yang baik. Kita telah dinasihatkan pakar-pakar Institut Jantung Negara (IJN), UKM untuk beliau melalui satu proses pemulihan biasa yang akan memakan masa sedikit. Ini supaya beliau boleh kembali sihat seperti biasa dan boleh kembali bertugas seperti sebelum ini,” kata beliau, menerusi satu video yang dimuat naik di laman Facebook Kapten B Khalifa.
Sementara itu, Mukhriz berterima kasih kepada semua pihak yang berkongsi rasa simpati serta turut bersama-sama mendoakan kesihatan Dr Mahathir.
Semalam, Dr Mahathir mula menerima rawatan di IJN selepas dilaporkan terjatuh di kediamannya sehingga mengalami patah tulang pinggul.
Menurut Mukhriz, bapanya dilaporkan terjatuh selepas menjalani rutin harian 'brisk walk' pada pagi Selasa.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


