KUALA LUMPUR: Kerajaan terus komited memperbaiki kualiti perkhidmatan pihak berkuasa tempatan (PBT) khususnya memperkasakan pelaksanaan One Stop Centre 3.0 (OSC 3.0) kepada OSC 3.0 Plus agar ia sentiasa efisien, cepat dan telus, dalam usaha melonjakkan pelaburan domestik.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan, OSC 3.0 Plus bakal memperkenalkan prosedur lengkap dan seragam berdasarkan undang-undang semasa bagi mengawal selia dan memudah cara proses pemajuan di kawasan PBT sehingga bangunan layak diduduki menggunakan aplikasi digital sepenuhnya.

Ia melibatkan semua 98 PBT di Semenanjung Malaysia.

"Penambahbaikan tersebut melalui pengenalan Sistem OSC 3.0 Plus Online dengan penekanan kepada aspek ‘teach in’, pengurusan aduan dan sesi libat urus pemegang taruh termasuk membangun mekanisme pusat sehenti pelesenan secara digital," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Terdahulu, Perdana Menteri mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) Bil. 3 Tahun 2022 yang membincangkan dua perkara utama berhubung pelaburan langsung domestik (DDI) dan pemerkasaan pusat sehenti (One Stop Centre - OSC).

Tambah Perdana Menteri, proses pemulihan ekonomi negara kini berada pada momentum terbaik dan oleh itu, kerajaan komited untuk memastikan DDI terus dirangsang dengan mengambil pendekatan mempermudahkan urusan para pemain industri.

Kerajaan juga, menurut Perdana Menteri, sentiasa mendengar cadangan daripada semua pihak untuk kesejahteraan Keluarga Malaysia.