KOTA BHARU: Jemaah umrah yang mengalami kerugian kerana penangguhan perjalanan selama sebulan ke Tanah Suci baru-baru ini boleh mengemukakan tuntutan kepada kerajaan.

Kerajaan, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary, akan membayar antara 50 hingga 60 peratus kerugian yang dialami oleh jemaah ekoran penangguhan sementara ibadah itu.

Menurut beliau, Lembaga Tabung Haji (TH) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) juga telah melakukan tapisan senarai jemaah yang menanggung kerugian.

Bagaimanapun, kata Ahmad Marzuk, proses berkenaan masih dalam penelitian di peringkat akhir dan ia dijangka dapat diselesaikan pada pertengahan bulan ini.

"Kami mengetahui, kumpulan jemaah yang terkandas baru-baru ini untuk mengerjakan umrah mengalami kerugian tertentu yang melibatkan perbelanjaan seperti penginapan dan tempahan lain. Oleh itu, kerajaan akan menanggung sebahagian daripada perkara tersebut.

"Proses ini masih dalam penelitian akhir, barangkali pertengahan bulan ini mengikut apa yang disebutkan oleh TH dengan kerjasama MOTAC dan kumpulan persatuan umrah akan memurnikan (membuat tapisan) senarai jemaah yang benar-benar menanggung kerugian," katanya.

Ahmad Marzuk berkata demikian kepada pemberita selepas hadir di Majlis Santuni Nelayan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijang di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di sini, hari ini.

Beliau turut memberitahu, TH akan mengagihkan bayaran pampasan berkenaan melalui peruntukan yang disediakan kerajaan.

Dalam masa sama, Ahmad Marzuk mengingatkan jemaah yang bakal berlepas ke Tanah Suci bermula Selasa ini agar menjaga prosedur operasi standard (SOP) dan patuh kepada peraturan yang ditetapkan.

"Seperti kita lihat, sehari dua ini berlaku peningkatan kes harian COVID-19 susulan penularan varian Omicron.

“Saya harap supaya jemaah kekal patuh SOP memandangkan kita mahu memastikan mereka pulang dari umrah nanti agar tidak menyumbangkan kepada peningkatan kes yang mendadak," katanya.