Skip to main content

Malaysia

Isu integrasi sistem bukan teknikal, kegagalan patuhi Akta Pekerja Gig – GEM

SINAR HARIAN
Masrizal berkata, statistik turut menunjukkan keperluan mendesak bagi perlindungan sosial yang lebih menyeluruh apabila jumlah kemalangan serta penerima faedah di bawah skim perlindungan kendiri terus meningkat saban tahun. - Gambar fail/ Sinar Harian

KUALA LUMPUR: Gabungan eHailing Malaysia (GEM) menegaskan, kelewatan sebahagian penyedia platform melaksanakan integrasi sistem caruman keselamatan sosial bukan lagi isu teknikal, sebaliknya kegagalan mematuhi undang-undang di bawah Akta Pekerja Gig 2025 (Akta 872).

Menurut Ketua Aktivis Gabungan eHailing Malaysia (GEM), Masrizal Mahidin atau lebih dikenali sebagai Jose Rizal, hampir sebulan selepas akta berkenaan dikuatkuasakan, pelaksanaan di lapangan masih belum menunjukkan tahap pematuhan menyeluruh dalam kalangan penyedia platform.

Advertisement

Beliau berkata, keadaan itu berlaku walaupun Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) telah mengesahkan kesediaan sepenuhnya untuk melaksanakan perlindungan sosial kepada pekerja gig, termasuk melalui integrasi sistem berasaskan Application Programming Interface (API).

“Integrasi ini membolehkan potongan caruman dilaksanakan secara automatik, telus dan efisien tanpa campur tangan manual platform. Justeru, sebarang alasan berkaitan kekangan teknikal tidak lagi relevan untuk dijadikan justifikasi melengah-lengahkan pelaksanaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Masrizal menjelaskan, di bawah mekanisme baharu itu, caruman ditetapkan pada kadar 1.25 peratus secara automatik bagi setiap transaksi sebaik sahaja tugasan diselesaikan, sekali gus memastikan perlindungan sosial yang konsisten tanpa menjejaskan fleksibiliti pekerjaan gig.

Namun, beliau menzahirkan kebimbangan terhadap kegagalan segelintir penyedia platform untuk segera menyelaraskan sistem masing-masing dengan keperluan ditetapkan.

“Keadaan ini menimbulkan persoalan serius terhadap komitmen mereka dalam mematuhi undang-undang serta menjaga kebajikan pekerja gig. Isu ini bukan lagi bersifat teknikal, tetapi melibatkan kepatuhan, integriti dan tanggungjawab industri,” tegasnya.

Mengulas lanjut, Masrizal berkata, statistik turut menunjukkan keperluan mendesak bagi perlindungan sosial yang lebih menyeluruh apabila jumlah kemalangan serta penerima faedah di bawah skim perlindungan kendiri terus meningkat saban tahun.

Sehubungan itu, beliau berpandangan pendekatan soft landing dalam penguatkuasaan tidak lagi memadai sekiranya ketidakpatuhan berterusan, dan tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas serta bersifat punitif perlu dipertimbangkan.

Di bawah Seksyen 82 Akta Pekerja Gig 2025 (Akta 872), pekerja gig mempunyai hak kepada pemotongan caruman keselamatan sosial oleh entiti kontrak bagi pihak mereka kepada PERKESO, manakala Seksyen 83 memperuntukkan kewajipan mandatori ke atas penyedia platform untuk melaksanakan tanggungjawab tersebut tanpa pengecualian.

Masrizal turut menegaskan, semua penyedia platform, termasuk yang belum berdaftar, tetap tertakluk kepada kewajipan untuk mendaftar dan melaksanakan caruman bagi memastikan perlindungan menyeluruh kepada pekerja gig.

Beliau berkata, Malaysia kini berada pada kedudukan penting sebagai antara negara perintis di rantau ini dalam memperkenalkan kerangka perundangan komprehensif bagi sektor gig, namun keberkesanan dasar itu bergantung kepada pelaksanaan yang tegas, konsisten dan tanpa kompromi.

“Keselamatan sosial pekerja gig bukan satu pilihan, sebaliknya, hak yang dijamin undang-undang dan amanah yang wajib ditunaikan,” katanya.

Must Watch Video