PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) memperhebat tindakan penguatkuasaan terhadap majikan yang masih berdegil menggaji pendatang tanpa izin dengan penahanan 45 warga asing dalam operasi serentak di beberapa lokasi di sekitar Selangor, semalam.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata sebanyak 88 individu telah diperiksa dalam operasi itu terdiri daripada 66 warga asing dan 22 warga tempatan, susulan maklumat aduan awam serta risikan yang dijalankan selama dua minggu.
Advertisement
"Hasil pemeriksaan, sebanyak 45 individu terdiri daripada warga Bangladesh, Myanmar, India, Nepal dan Indonesia berumur antara 29 hingga 50 tahun telah ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 [Akta 155] serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kesemua individu yang ditahan telah ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Semenyih bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut.
Zakaria berkata JIM turut mengeluarkan sembilan saman kepada saksi (Borang 29) warga tempatan bagi membantu siasatan berkaitan kesalahan menggaji pekerja asing secara tidak sah.
"JIM menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan tidak hanya tertumpu kepada warga asing yang melanggar undang-undang, malah turut menyasarkan majikan yang degil, cuai atau sengaja menggaji pendatang tanpa izin," katanya.
Operasi serentak itu dilaksanakan di lapan lokasi berasingan, melibatkan tiga premis di Semenyih, dua premis di Seri Kembangan dan masing-masing satu premis di Jenjarom, Cheras dan Serdang.
Sebanyak 52 pegawai pelbagai pangkat diatur gerak dalam operasi berkenaan bagi membanteras serta mengekang majikan yang masih gagal mematuhi dasar semasa kerajaan berkaitan penggajian pekerja asing.
-- BERNAMA