Kerajaan telah membelanjakan RM231.5 juta dalam operasi pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370 untuk tempoh sehingga Oktober lepas.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata dalam menangani nahas pesawat MH17 pula, kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM12.9 juta.

"Bagaimanapun anggaran kos keseluruhan bagi misi pencarian tersebut (MH370) tidak dapat ditentukan kerana operasi pencarian masih lagi dilaksanakan," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Teresa Kok Suh Sim (DAP-Seputeh) pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Liow berkata MAS telah menawarkan bayaran pampasan pendahuluan dan pakej bantuan kru berjumlah USD50,000 (RM214,925) sebagai sebahagian daripada bayaran pampasan penuh kepada setiap waris atau keluarga penumpang dan anak kapal kedua-dua pesawat itu.

Katanya jumlah yang diberikan tersebut dinilai berdasarkan Konvensyen Montreal 1999 dengan pembuktian kerugian yang ditanggung setiap penumpang.

Setakat ini, Liow berkata, 236 waris tragedi MH17 dan 74 waris mangsa MH370 telah menerima bayaran pampasan pendahuluan melibatkan jumlah keseluruhan USD16,600,000 (RM7,135,510,000).