Skip to main content

Malaysia

Kerajaan, BIM akan perkukuh kerjasama bentuk bakat profesional era AI - PM Anwar

Menerima kunjungan hormat daripada delegasi Balai Ikhtisas Malaysia (BIM) diketuai Presidennya, Prof ChM Dr Juan Joon Ching. Kami bertukar pandangan mengenai usaha membangunkan bakat serta meningkatkan kesiapsiagaan golongan profesional dalam era kecerdasan buatan (AI). Ikhtiar ini penting untuk memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan profesional serantau.
Pada pertemuan itu, Perdana Menteri turut menerima jemputan ke Hari Ikhtisas Malaysia yang mengiktiraf sumbangan golongan profesional terhadap pembangunan negara. - Foto FB Anwar Ibrahim
Advertisement

KUALA LUMPUR: Usaha membangunkan bakat serta meningkatkan kesiapsiagaan golongan profesional dalam era kecerdasan buatan (AI) menjadi tumpuan utama perbincangan antara kerajaan dan Balai Ikhtisas Malaysia (BIM).

Menerusi hantaran di laman Facebook, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata langkah itu penting bagi memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan profesional serantau.

Perkara itu dinyatakan beliau selepas menerima kunjungan hormat daripada delegasi BIM yang diketuai Presidennya Prof ChM Dr Juan Joon Ching, hari ini.

"Kerajaan menghargai peranan komuniti profesional sebagai rakan strategik dalam memperkukuh daya saing negara, memacu inovasi dan menjayakan agenda MADANI demi kesejahteraan rakyat," kata Anwar.

Pada pertemuan itu, Perdana Menteri turut menerima jemputan ke Hari Ikhtisas Malaysia yang mengiktiraf sumbangan golongan profesional terhadap pembangunan negara.

Beliau berharap kerjasama erat antara kerajaan dan komuniti profesional akan terus diperkukuh demi melahirkan lebih ramai bakat yang berintegriti, berdaya saing serta mampu memimpin Malaysia ke hadapan.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement