ANTALYA (TURKIYE): Sidang Kemuncak Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) COP31 bermula pada Isnin di bandar Antalya, Turkiye yang terletak di pesisir Mediterranean, ketika kerajaan di seluruh dunia berdepan tekanan semakin meningkat untuk menterjemahkan komitmen iklim kepada tindakan konkrit serta memperkukuh sokongan kepada negara yang terdedah kepada kesan perubahan iklim, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Persidangan yang berlangsung dari 9 hingga 20 Nov itu menghimpunkan pemimpin dunia, menteri, perunding, saintis dan wakil masyarakat sivil bagi membincangkan pengurangan pelepasan gas rumah hijau, penyesuaian terhadap perubahan iklim serta pembiayaan iklim.
Türkiye memegang jawatan presiden persidangan itu, manakala Menteri Perubahan Iklim dan Tenaga Australia Chris Bowen akan mengetuai rundingan.
Sidang Kemuncak Pemimpin Dunia pula dijadual berlangsung pada 11 hingga 12 Nov.
Bertemakan "COP of the Future – COP of Implementation", sidang kemuncak itu bertujuan menterjemahkan komitmen iklim kepada hasil yang boleh diukur.
Agenda Tindakan yang digariskan oleh pihak penganjur memberi keutamaan kepada peralihan kepada tenaga bersih dan elektrifikasi, sifar sisa dan pengurangan pelepasan metana, pembangunan bandar berdaya tahan iklim, perindustrian hijau, keselamatan makanan serta perlindungan lautan dan perairan.
Keutamaan lain termasuk belia dan pendidikan, sistem kesihatan berdaya tahan serta kerjasama dalam isu perubahan iklim, biodiversiti dan kemerosotan tanah.
Antara sasaran yang dicadangkan menjelang 2035 ialah meningkatkan bahagian tenaga elektrik dalam penggunaan tenaga akhir global kepada 35 peratus, mengurangkan intensiti penggunaan tenaga dalam bangunan sekurang-kurangnya 25 peratus serta meningkatkan kadar penggunaan bahan kitar semula global kepada sekurang-kurangnya 15 peratus.
Bagaimanapun, para perunding masih berbeza pendapat mengenai pembiayaan untuk negara membangun dan usaha mempercepat peralihan daripada bahan api fosil, susulan kegagalan COP30 mencapai persetujuan mengenai pelan hala tuju berkenaan.
Laporan Jurang Pelepasan 2026 oleh Program Alam Sekitar PBB (UNEP) mengunjurkan pemanasan global sekitar 2.6 darjah Celsius pada abad ini meskipun semua negara melaksanakan sepenuhnya komitmen iklim masing-masing, jauh melebihi sasaran suhu yang ditetapkan dalam Perjanjian Paris.
Laporan itu turut menganggarkan negara membangun memerlukan kira-kira US$305 bilion setahun bagi penyesuaian terhadap perubahan iklim menjelang 2035, berbanding pembiayaan awam antarabangsa untuk tujuan itu yang berjumlah antara US$28.2 bilion hingga US$31.7 bilion pada 2024.
Sidang kemuncak itu berlangsung selepas setahun dunia dilanda banjir besar, gelombang haba yang meragut nyawa dan kemarau berpanjangan, sekali gus meningkatkan desakan supaya pengurangan pelepasan gas rumah hijau dipercepat serta sokongan kewangan dipertingkatkan.
-- BERNAMA-ANADOLU