WARSAW: Suspek yang melepaskan tembakan rambang di pusat bandar Kraków pada Sabtu lalu sehingga mengorbankan enam nyawa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital, menurut polis Poland pada Isnin.
Lelaki warga Poland berusia 24 tahun dari Ostrowiec Świętokrzyski itu sebelum ini ditembak polis beberapa minit selepas melepaskan tembakan dari kenderaannya di kawasan dataran utama bersejarah Kraków.
Sebelum ini, kerajaan Poland memaklumkan siasatan awal menunjukkan suspek dipercayai mempunyai kaitan dengan fahaman pelampau berhaluan kanan, namun pihak berkuasa enggan mengulas lanjut ketika siasatan masih berjalan.
Bagaimanapun, beberapa pegawai kanan kerajaan kemudiannya mengambil pendekatan lebih berhati-hati berhubung motif serangan selepas ahli politik pembangkang nasionalis mempersoalkan asas kenyataan awal yang dibuat Menteri Dalam Negeri, Marcin Kierwiński.
Jurucakap kerajaan, Adam Szłapka berkata semua pihak wajar mengelakkan sebarang spekulasi sehingga siasatan lengkap dan keputusan analisis forensik diperoleh.
Sementara itu, Menteri Kehakiman, Waldemar Żurek berkata Pejabat Pendakwa Raya Kebangsaan akan meneruskan siasatan bagi menentukan sama ada suspek bertindak bersendirian atau mempunyai kaitan dengan mana-mana kumpulan pelampau walaupun suspek telah meninggal dunia.
Menurut jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Karolina Gałecka, pihak berkuasa turut meneliti pelbagai lambang dan lencana yang ditemukan pada pakaian suspek bagi membantu mengenal pasti motif serangan.