KUALA LUMPUR:Kerajaan boleh mempertimbang penguatkuasaan undang-undang dalam pengambilan suntikan vaksin COVID-19 yang dijangka diperoleh pada Februari nanti.

Menurut Pakar Kesihatan Awam Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Malina Osman, tindakan ini bertujuan untuk menangani masalah penolakan vaksin COVID-19 dalam kalangan masyarakat.

"Pengalaman saya sebagai seorang doktor, saya tidak mampu untuk membuka hati seseorang agar bersetuju dengan cadangan atau sesuatu syor yang dinyatakan.

"Meskipun pelbagai usaha dibuat melalui hujah akademik, fakta, pengalaman serta perbandingan dengan rawatan alternatif yang lain; mereka yang telahpun mempunyai persepsi tertentu akan meneruskan apa yang mereka yakini benar.

"Namun, antara yang boleh kita lakukan ialah melalui penguatkuasaan undang-undang seperti yang pernah kita laksanakan dengan vaksinasi cacar dahulu iaitu hanya kanak-kanak yang disuntik vaksin dibenarkan mendaftar di sekolah," katanya kepada Astro AWANI, pada Jumaat.


Apa kesan varian baharu yang dikesan di Malaysia?

Ditanya sama ada terdapat keperluan untuk memberikan vaksin COVID-19 kepada pemimpin terlebih dahulu bagi meningkatkan keyakinan rakyat, Malina berkata beliau bersetuju dengan perkara tersebut.

"Dalam isu yang melibatkan kesihatan awam ia perlu memberikan persepsi yangg baik secara memyeluruh. Oleh itu, 'role model' di kalangan ahli politik termasuk pembangkang juga perlu dilibatkan.

"Ini juga perlu melibatkan golongan yang dihormati dan dipercayai oleh masyarakat seperti ketua-ketua pengarah sektor awam seperti Kesihatan, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Pertahanan, para mufti serta mereka yangg mendapat tempat dalam 'ranking' penghormatan oleh masyarakat termasuk juga di kalangan pengamal seni," ujarnya.