SEREMBAN: Kerajaan mencadangkan supaya tempoh semakan dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Tabung Haji diperluaskan bagi merangkumi tempoh selepas pengurusan dan kepengerusian baharu institusi itu mengambil alih.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah itu bertujuan membolehkan usaha pemulihan yang dilaksanakan selepas tempoh siasatan turut dinilai secara menyeluruh, dan bukan hanya tertumpu kepada dapatan sehingga tahun 2022.
“Jemaah Menteri telah mencadangkan agar jeda waktu untuk dapatan kajian ini dilanjutkan bukan hanya sehingga tahun 2022, tetapi dilanjutkan daripada 2014 hingga 2022, dan 2022 hingga apabila pengurusan dan kepengerusian baharu Tabung Haji mengambil alih.
“Ini adalah bagi memperlihatkan usaha-usaha pemulihan, antaranya penstrukturan aset, pencairan aset dan lain-lain langkah untuk memulihkan Tabung Haji itu benar-benar telah dilaksanakan berdasarkan syor-syor yang dibuat oleh laporan Suruhanjaya Diraja Tabung Haji ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas menghadiri Majlis Perasmian Penutupan Program Jelajah Pendidikan Tinggi dan TVET Mara Negeri Sembilan, di sini, pada Rabu.
Dalam perkembangan sama, Ahmad Zahid berkata Jemaah Menteri turut bersetuju supaya laporan RCI Tabung Haji didedahkan kepada umum serta dibentangkan dalam satu sidang khas Parlimen bagi membolehkan syor dan dapatan suruhanjaya itu dibahaskan secara terbuka.
Menurut beliau, kerajaan juga komited melaksanakan syor yang dikemukakan RCI sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kedudukan kewangan Tabung Haji.
“Kita tahu kos melakukan ibadah haji sekarang telah meningkat, dan kita tahu bahawa kalau dulu RM9,980 bagi setiap jemaah, tetapi sekarang ini jumlah itu telah meningkat disebabkan oleh peningkatan kos penerbangan, operasi, hotel dan sebagainya.
“Namun, saya fikir dengan keuntungan melalui dividen atau bonus yang akan diberikan kelak oleh pengurusan baharu, ianya akan memperlihatkan bahawa kos itu boleh diturunkan dengan menggunakan sebahagian daripada keuntungan itu untuk menampung kos kenaikan bagi mengerjakan haji,” jelasnya.
Mengulas kebimbangan bahawa pendedahan laporan itu boleh menjejaskan keyakinan pendeposit, Zahid berkata laporan berkenaan sepatutnya telah didedahkan kira-kira tiga tahun lalu.
Namun ditangguhkan kerana ketika itu terdapat kebimbangan ia boleh mencetuskan pengeluaran deposit secara besar-besaran.
“Saya fikir Tabung Haji sedang menuju ke arah memantapkan portfolio pelaburannya dan kedudukan aliran tunainya.
“Pada hemat saya, laporan itu bukan mahu menuding jari kepada seseorang, tetapi adalah satu syor yang pada pandangan saya tidak harus dipolitikkan.
“Apatah lagi pada hari Sabtu (1 Ogos) ini adalah hari yang penting untuk Negeri Sembilan, justeru saya harap ianya tidak dimanipulasikan ke arah itu,” katanya.
Tegas Ahmad Zahid, meskipun pendedahan laporan itu dibuat ketika tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16, kerajaan tidak mempunyai niat untuk mempolitikkan perkara itu.
“Ramai orang yang membaca begitu, tetapi kita berjiwa besar dan berlapang dada tidak mempunyai tanggapan (politik) yang begitu,” katanya.