Kerajaan bercadang untuk mewujudkan mata pelajaran baharu yang menumpukan kepada internet dan kecederasan buatan atau Artificial Intelligence (AI) di peringkat sekolah, ujar Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo.

Jelas beliau, projek #mydigitalmaker di 22 sekolah adalah antara inisiatif awal dalam melaksanakan cadangan berkenaan.

"Bukan sahaja murid, malah ibu bapa dan guru juga tertarik dengan program ini dan perlunya kerajaan baharu melihat kemungkinan kita hendak memasukkan mata pelajaran berkaitan internet dan Artificial Intelligence (AI) di peringkat sekolah

"Kita nak bawa pelajaran AI ke sekolah dan ia membawa kebaikan kepada masyarakat secara keseluruhannya," katanya kepada media selepas merasmikan Digital Maker Hub di SJKT Serdang di sini pada Sabtu.

Dalam pada itu, Gobind berkata, kementeriannya juga bercadang memperkenalkan modul baharu yang memfokuskan kepada komputer dan pengaturcaraan di sekolah bagi menyokong pembangunan modal insan berkeupayaan tinggi dalam teknologi digital.

“Kita dalam proses melihat program-program berlainan yang wujud di seluruh dunia termasuk di Jepun, Korea dan Perancis yang telah maju dalam bidang teknologi. Saya masih menilai modul-modul sedia ada dan kita kena lihat modul terbaik yang sesuai dengan keperluan negara dan masyarakat kita.

“Apabila ia selesai, saya berharap dalam dua hingga tiga bulan ini cadangan tersebut akan dibawa ke kabinet... ini bergantung kepada keputusan kabinet,” katanya.

Terdahulu, Gobind Singh yang juga Anggota Parlimen Puchong melancarkan hab penghasilan digital di Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) (SJKT) FES Serdang sini pada Sabtu.

SJKT FES Serdang adalah antara 22 ‘Mydigital Maker Champion School’ yang bertujuan membudayakan penghasilan digital di sekolah-sekolah.

Sementara itu, Gobind Singh berkata gerakan #mydigitalmaker yang diterajui Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) adalah selari dengan matlamat Kementerian Komunikasi dan Multimedia untuk melahirkan generasi muda yang bersedia menghadapi pasaran kerja baharu ekonomi digital.