PUTRAJAYA:Kerajaan dalam rundingan untuk menambah perolehan bekalan vaksin satu dos suntikan daripada syarikat Johnson & Johnson (J&J) dari Amerika Syarikat (AS). 

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata, rundingan untuk mendapatkan bekalan vaksin daripada syarikat tersebut dari segi maklumat klinikal menunjukkan perkembangan yang baik.

Menurut beliau, Jemaah Kabinet telah membuat keputusan berdasarkan syor daripada Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) untuk membeli vaksin berkenaan.


[SIDANG MEDIA] Pasukan petugas khas imunisasi

“Jadi masih dalam rundingan dan saya difahamkan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba akan menandatangani kontrak untuk memperolehi (vaksin) dan selepas itu baru ia akan dihantar untuk penilaian
Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA),” katanya dalam sidang media Penyelarasan Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) di sini, pada Rabu.

Mengulas lanjut, Khairy yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan berkata, Malaysia masih kekal dengan pendekatan di mana penerima dos pertama vaksin perlu menerima suntikan kedua.

Katanya, penerima suntikan pertama vaksin Pfizer akan diberikan suntikan dos kedua dalam tempoh 21 hari.

"Kita tidak seperti berlaku di negara-negara lain seperti United Kingdom (UK), di mana mereka telah melanjutkan tempoh untuk menerima dos kedua AstraZeneca daripada sebelum sampai sekarang antara sembilan hingga 12 minggu. 

"Sebab pendekatan di UK adalah untuk memberikan seramai mungkin sekurang-kurangnya satu dos. Tetapi Malaysia tidak mengambil pendekatan yang sama. Kita mengambil kira apa yang pengeluar vaksin telah sarankan iaitu 21 hari selepas dos pertama," jelas beliau lagi.

Malaysia akan menerima bekalan vaksin daripada syarikat vaksin Pfizer-BioNTech pada 21 Februari ini.

Setakat ini, Malaysia telah membuat pembelian awal daripada lima syarikat pengeluar vaksin dan hanya Pfizer yang memperolehi kelulusan bersyarat daripada NPRA.

Sementara empat lagi iaitu Sinovac Life Sciences Co Ltd (Sinovac); CanSinoBIO; AstraZeneca; serta Sputnik V masih sedang diproses untuk kelulusan NPRA.