KUALA LUMPUR: Kumpulan Penasihat Malaysia mengenai Myanmar (MAGM) menggesa kerajaan menjalankan siasatan bebas berhubung insiden di Depot Tahanan Imigresen Sungai Bakap bagi memastikan apa yang berlaku diketahui umum dan pihak yang bertanggungjawab dikenakan tindakan.

Pengerusinya Tan Sri Syed Hamid Albar dalam kenyataan pada Khamis turut meminta kerajaan memberi Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) akses ke semua pusat tahanan imigresen untuk menemu bual baki tahanan serta memeriksa keadaan di pusat berkenaan.

Beliau berkata kerajaan perlu bekerjasama dengan pejabat UNHCR di sini untuk melaksanakan Penentuan Status Pelarian (RSD) bagi semua tahanan yang belum menjalaninya.

"Bebaskan semua tahanan yang selepas RSD layak menerima kad UNHCR dengan syarat dan pengawasan pentadbiran. Babitkan Rohingya dalam projek rintis Alternatif Untuk Penahanan (ATD) untuk kanak-kanak yang telah bermula Februari tahun ini.

"Perbaiki keadaan di dalam pusat tahanan imigresen termasuk memastikan akses rawatan perubatan mencukupi untuk tahanan," katanya.

Syed Hamid berkata sejak penubuhan MAGM susulan rampasan kuasa tentera di Myanmar tahun lepas, kumpulan penasihat itu telah memantau keadaan orang awam dan pelarian dari Myanmar termasuk Rohingya yang terpaksa meninggalkan tanah air mereka dengan perjalanan laut dan darat yang berisiko bagi melarikan diri daripada penganiayaan, penyeksaan dan kematian.

Beliau sekali lagi menegaskan langkah membebaskan pelarian Rohingya daripada tahanan adalah penting memandangkan mereka tidak boleh dihantar pulang ke Myanmar kerana penafian kewarganegaraan, menyebabkan mereka tidak bernegara.

"Sekali lagi ditekankan bahawa pelarian Rohingya yang mencari perlindungan di Malaysia adalah mangsa penghapusan etnik. Oleh itu, adalah tidak adil untuk mengenakan tindakan jenayah ke atas mangsa jenayah kemanusiaan," katanya.

Dalam kejadian awal pagi semalam, 528 tahanan etnik Rohingya melarikan diri dari Depot Tahanan Imigresen Sungai Bakap dan enam daripadanya maut ketika sedang melintas jalan di Kilometer 168 arah selatan Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran Jawi, Nibong Tebal.

-- BERNAMA