KUALA LUMPUR: Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat (Ikatan) menggesa kerajaan agar menunjukkan keazaman politik yang kukuh dalam langkah keseluruhan keselamatan jalan raya bagi mengurangkan kemalangan dan mengawal jumlah kematian yang tinggi sepanjang tahun dengan berkomunikasi secara efektif.

Pengerusi Ikatan Tan Sri Lee Lam Thye berkata kerajaan juga sepatutnya meningkatkan kesedaran dalam kalangan orang ramai melalui penguatkuasaan, pendidikan dan libat urus dengan pihak berkepentingan.

"Ikatan amat bimbang dengan jumlah kematian 6,433 pada 2023 iaitu yang tertinggi dalam tempoh lima tahun lepas, lebih tinggi berbanding statistik kematian pada 2018 iaitu sebanyak 6,284.

"Kenaikan tujuh peratus dalam kematian jalan raya tahun lepas berbanding statistik kematian pada 2022 adalah petanda jelas bahawa komitmen, fokus dan hasrat Kerajaan Persekutuan untuk mengurangkan serta mengawal kemalangan jalan raya telah gagal," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut mencadangkan Kementerian Pengangkutan (MoT) untuk memikirkan semula langkah-langkah komunikasi dan mesej kempen berkaitan advokasi serta kesedaran keselamatan jalan raya melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bersama-sama Polis Diraja Malaysia.

"MoT perlu mengendali komunikasi yang konsisten dan serius sepanjang tahun di semua peringkat dengan pihak berkepentingan berkaitan seperti digariskan dalam Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia 2022-2030," katanya.

Lee berkata MoT sepatutnya meminta kerjasama daripada semua agensi, kementerian dan syarikat berkaitan kerajaan bagi melaksanakan langkah keselamatan untuk pekerja mereka termasuk memakai tali pinggang keselamatan di tempat duduk belakang serta topi keledar keselamatan semasa perjalanan.

Beliau berkata antara lain, satu pasukan petugas komunikasi khas untuk setiap lima daerah terburuk di Malaysia yang mencatatkan jumlah kematian jalan raya tahunan tertinggi perlu diwujudkan.

"Transformasi peranan dan fungsi Majlis Keselamatan Jalan Raya perlu menjadi titik fokus komunikasi di setiap negeri. Komuniti tempatan terutama ibu bapa pemandu motosikal muda perlu dilibatkan melalui program outreach yang konsisten.

"Justeru, kami amat berharap kerajaan akan menghidupkan semula komitmen dan fokusnya untuk menyelamatkan nyawa di jalan raya dengan rancangan komunikasi yang jelas sepanjang tahun," katanya.

-- BERNAMA