KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa untuk mewajibkan setiap pemain industri termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mengambil pelajar Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk penempatan latihan industri (OJT).

Presiden Yayasan Mahir Malaysia, Datuk Sri Ganes memberitahu, ketika ini industri dilihat lebih mengutamakan pelajar universiti berbanding TVET.

"Dalam pembelajaran TVET, ia dilihat dari segi beberapa tahap di mana tahap satu selalunya diabaikan kerana tidak lagi relevan kepada industri pada ketika ini.

"Bermula dengan tahap dua kemudian ke tahap tiga dan seterusnya. Namun apabila sampai ke tahap tertinggi, pelajar-pelajar ini (TVET) perlu menjalani latihan OJT supaya melengkapkan komponen pembelajarannya.

"Mereka tidak boleh hanya bergantung kepada teori dan peperiksaan sahaja, mereka perlu menjalani latihan industri bagi mengiktiraf dan menguji kebolehkan masing-masing.

"Namun disebabkan tidak wajib (kerajaan) pemain industri lebih gemar mengambil pelajar universiti, jadi bila pelajar TVET akan diberi peluang?" soalnya dalam AWANI Pagi di sini, pada Jumaat.

Sementara itu, menyentuh mengenai program-program khas seperti Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) iaitu program latihan berorientasikan industri yang menggabungkan latihan di tempat kerja dan pembelajaran di institusi, bayaran yang diberi amat rendah.

"Pemain industri beranggapan dengan bayaran RM200 hingga RM300 bagi setiap graduan TVET untuk membuat persijilan atau OJT adalah tidak berbaloi dengan peralatan dan tenaga mahir yang jauh lebih tinggi kosnya. 

"Justeru saya meminta kerajaan untuk melihat perkara ini untuk pertimbangan," ujarnya.

Dalam pada itu, Sri Ganes yang juga Pengerusi SG Education Group Berhad memberitahu, graduan TVET
khususnya dalam bidang berkaitan kenderaan elektrik (EV) dan dron mendahului graduan bidang lain berikutan kebolehpasaran yang tinggi.

Beliau menyifatkan TVET sebagai satu 'kuasa baharu' yang mampu melahirkan tenaga mahir serta menjana keuntungan berlipat ganda kepada negara.

"Perkembangan terkini, melalui dron dan EV di dalam TVET boleh menjana pendapatan yang tinggi dan high impact programme," katanya lagi.

Mengulas lanjut, Sri Ganes memberitahu, kursus pendidikan dron dilihat bukan sahaja semakin popular malah ada individu yang mahu menjadikan dron sebagai sebuah prospek kerjaya baharu.

Katanya, kemunculan dron ini sudah banyak memberi manfaat di dalam kehidupan seharian termasuk bidang penerbangan, hiburan, pertanian, perubatan, industri pembinaan sehinggalah ke pertahanan dan ketenteraan awam.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan pendidikan EV pula mempunyai ekosistemnya yang tersendiri.

"Pendidikan yang bersifat mikro itu telah membentuk tenaga mahir dari sudut penghasilan Bateri, produk yang berasaskan bateri, penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang berkaitan dengan bateri, pelupusan bateri dan juga material pembinaan kereta EV," ujarnya.