GUA MUSANG: Bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah mencadangkan agar Kerajaan Perpaduan memberi bantuan tunai bulanan secara bersasar kepada rakyat bagi menampung kos sara hidup yang meningkat kini.

Beliau yang lebih dikenali dengan panggilan Ku Li berkata, bantuan berkenaan berperanan membiayai kehidupan rakyat dan sekali gus dapat menggunakan wang tersebut membeli barang keperluan serta menjana ekonomi keluarga.

Menurut Ku Li, sumbangan tunai yang diberikan ketika ini dianggap tidak memadai untuk membantu rakyat yang terkesan dengan kos sara hidup tinggi memandangkan ia diagihkan secara berkala.

Katanya, selain bantuan tunai, beliau berharap pihak kerajaan dapat mencari cara terbaik untuk membaiki kadar tukaran ringgit terutama dengan dolar Amerika Syarikat yang dilihat memberikan kesan tidak baik kepada ekonomi negara.

"Beri peluang berniaga, membeli belah, saya rasa itu lebih berhak.

"Di samping itu, tengok cara baiki kadar tukaran wang asing, satunya masalah di situ kerana ia emihak kepada dolar Amerika Syarikat," katanya.

Ku Li berkata demikian selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa UMNO Bahagian Gua Musang di Bukit Cekati, Gua Musang, Kelantan pada Jumaat.