KUALA LUMPUR:Kerajaan dicadang meneroka teknologi membran bagi mengatasi masalah gangguan bekalan air yang dihadapi di Selangor dan negeri-negeri lain.

Felo Akademi Sains, UCSI University, Prof Datuk Dr Ahmad Ibrahim berkata, penerokaan teknologi yang digunakan di kebanyakan negara maju itu perlu dilakukan melalui kumpulan penyelidik dan pakar yang berkelayakan.

Memberi contoh Selangor, Dr Ahmad Ibrahim berkata negeri itu sepatutnya mempunyai teknologi air yang moden, selaras dengan visi sebagai Smart State.

"(Kerajaan negeri) Selangr kata boleh jadi Smart State. Maka, dalam nak memastikan menjadi Smart State itu, maka ia perlu mempunyai teknologi ke hadapan. Maka, kenapa Selangor tidak menggunakan teknologi moden yang diguna merata-rata negara seperti Singapura. Singapura bukan sahaja menggunakan teknologi untuk (memproses) air laut, tetapi juga untuk pelan rawatan air.

"Kita harus membangunkan kumpulan penyelidik dan individu yang boleh meneroka tekno membran untuk  Selangor dan negeri lain di Malaysia dalam menghadapi isu gangguan bekalan air ini," katanya kepada Astro AWANI melalui Skype pada Isnin. 

BACA: Air Selangor rancang proses air laut atasi masalah bekalan di masa hadapan

Ujarnya, usaha untuk menyelesaikan isu pencemaran air sememangnya sangat rumit kerana melibatkan perubahan pemikiran pihak industri dan pemilik kilang.

"Saya lihat teknologi untuk mendapatkan air bersih sudah digunakan Singapura dan sebagainya. Sebagai negara yang menghadapi masalah gangguan air, kenapa mesti tunggu sampai 40 tahun baru nak guna teknologi? Tengok betul-betul teknologi yang boleh selesaikan masalah air.

"Usaha nak hapuskan pencemaran air ini rumit dan mengambil masa dan mindset pekilang. Jadi untuk mengurangkan gangguan bekalan air ini, kena melihat kepada teknologi membran," ujarnya lagi.

Justeru, beliau menyarankan kerajaan mengenakan kos yang tinggi terhadap pihak industri apabila menggunakan teknologi membran, sekali gus mampu memberi penyelesaian kepada gangguan bekalan air seluruh negara.

"Saya percaya kalau ditingkatkan bayaran daripada industri (apabila menggunakan) membran ini, maka industri pun (mendapat manfaatnya).

"Kegunaan air kita juga tinggi kalau mengikut WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia). Maka bekalan air boleh diselesaikan jika guna teknologi moden, dan tidak perlu tunggu 20 ke 30 tahun baru nak pakai," tegasnya.