KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi tumpuan kepada usaha mengelakkan exclusion error atau keciciran golongan yang layak menerima bantuan sebagai sebahagian daripada persediaan menghadapi cabaran negara menua.
Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata cabaran jangka panjang bukan sahaja memastikan bantuan disalurkan kepada rakyat yang benar-benar memerlukan, malah mengelakkan bantuan diterima oleh mereka yang tidak layak.
Beliau berkata agenda negara menua perlu disokong oleh kesinambungan dasar ekonomi dan fiskal serta penyelarasan lima teras utama yang dibangunkan menerusi Rangka Tindakan Penuaan Kebangsaan (NAB) bagi memastikan kesejahteraan rakyat terus dipelihara.
“...kita membangunkan dasar yang melihat kepada bagaimana menguruskan cabaran negara menua ini kerana kita telahpun menjadi negara menua dan berdasarkan angka yang kajian dibuat oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) jangkaan negara kita jadi negara tua adalah seawal menjelang 2043.
“Jadi dalam tempoh berkenaan banyak perkara yang kita perlu selaraskan supaya bila sampai masanya kita dapat terus memastikan kehidupan dan juga kesejahteraan rakyat dapat dilindungi dengan sebaik mungkin,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan RSN Rayer (PH-Jelutong) mengenai langkah kerajaan dalam memastikan bantuan Persekutuan disampaikan dengan lebih berkesan kepada rakyat.
Menjawab soalan asal Mohd Nazri Abu Hassan (PN-Merbok) mengenai tahap kesiapsiagaan negara menghadapi fenomena masyarakat menua menjelang 2040, termasuk aspek kebajikan warga emas, penjagaan kesihatan, perlindungan sosial dan sokongan kepada institusi keluarga, Akmal berkata Malaysia telah mencapai status negara menua sejak 2021.
Beliau berkata berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), penduduk berumur 65 tahun dan ke atas kini melebihi tujuh peratus daripada jumlah penduduk, manakala peratusan itu diunjurkan meningkat daripada lapan peratus pada 2025 kepada 10.4 peratus pada 2035 berikutan penurunan kadar kesuburan keseluruhan (TFR) daripada 1.67 kepada 1.60 dalam tempoh sama.
Justeru, katanya Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) telah mengarusperdanakan persediaan negara melalui pelaksanaan Agenda Negara Menua dan pembangunan NAB sebagai kerangka jangka panjang yang merangkumi lima teras utama iaitu ekonomi makro dan fiskal, pekerjaan dan kemahiran, perlindungan sosial, kesihatan sepanjang hayat serta penjagaan jangka panjang.
“… kerajaan terus memperkukuh dasar warga emas negara dan pelan tindakan warga emas negara dengan penekanan kepada penuaan aktif, sihat dan bermaruah... (ini termasuk) pengukuhan sokongan keluarga dan komuniti, pembangunan persekitaran masa warga emas, peningkatan literasi digital serta pembelajaran sepanjang hayat.
“Kerajaan turut memperkukuh sistem penjagaan jangka panjang melalui pembangunan model penjagaan berasaskan komuniti, ekonomi penjagaan, latihan penjaga profesional dan juga peluasan perlindungan sosial bagi golongan rentan,” katanya.
-- BERNAMA